SEKTOR pendidikan negara kini sedang diduga dengan pelbagai isu terutamanya golongan pelajar di peringkat sekolah yang dikatakan semakin mencabar dari segi silibus dan pelajaran.
Seolah-olah tiada perubahan dilakukan, sistem yang cuba ditambah baik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) gagal membuahkan hasil apabila bilangan murid aliran sains kian merosot selain beban guru yang semakin berat.
Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad yang nyata kecewa dengan prestasi pendidikan negara pada ketika ini.
BACA LAGI: Guru perlu hormati privasi anak murid — Pakar Pendidikan
BACA LAGI: Dikecam jadi 'pakar', bekas pelajar PhD basuh netizen salah faham gelaran Tokti
Jelasnya, laporan prestasi pendidikan yang tidak memberansangkan oleh Bank Dunia, peningkatan bilangan guru bersara awal dan silibus pelajaran cacamarba nyata mengundang kekecewaan ramai.
" Mengapa sistem pendidikan negara kita masih tidak mahu berubah? Mengapa kita masih mahu amalkan pendidikan ibarat 'mi segera', semuanya nak cepat-cepat selesai, silibus terlalu banyak untuk sekolah rendah, terlalu padat.
"Mengapa kita masih tidak mahu terima hakikat bahawa setiap anak memang berbeza keupayaan dan kebolehan mereka? Setiap anak tidak sama. Mereka insan, anugerah ALLAH, bukan robot.
"Mengapa kita masih menganggap pendidikan sekolah rendah untuk bersaing? Ibarat satu pertandingan? Terkinja-kinja nak tahu siapa murid pandai dan siapa pula yang kononnya 'bodoh'," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.
Anuar dalam pada masa sama turut menitik beratkan perasaan dan cabaran dihadapi golongan pelajar sekolah yang dikatakan menjadi mangsa kepada pemikiran kapitalis pihak atasan.
"Air mata anak kecil adalah satu bukti jelas bahawa sistem pendidikan negara kita terlalu taksub dengan pemikiran kapitalis era revolusi industri.
"Pendidikan yang hanya mahu segera menghasilkan pekerja yang seragam, kita mahu kekal amalkan pendidikan ibarat sebuah kilang.
"Percayalah, bukan hanya seorang anak yang sedang tertekan, menangis begini. Saya yakin, ada puluhan ribu anak-anak yang lain hinggakan ramai yang sudah hilang motivasi dan minat untuk terus belajar. Bayangkan 11 tahun persekolahan, anak-anak tertekan emosi mereka semata-mata 'kejahilan' orang dewasa melaksanakan pendidikan," ujarnya.
Terdahulu, jumlah pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang menduduki subjek aliran Sains dan Matematik menunjukkan tren penurunan dalam tempoh enam tahun.
Statistik itu direkodkan hasil analisis yang dijalankan Pusat Maklumat Sains Dan Teknologi Malaysia (MASTIC), mendapati bahawa trend penurunan itu meliputi subjek Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram