KESELAMATAN golongan wanita di Malaysia semakin merisaukan terutamanya dengan lambakan kes kematian serta orang hilang.
Mengimbau kembali kes pembunuhan kejam Canny Ong pada 2003, tiada siapa pernah menyangka kejadian sedemikian boleh berlaku di ruang parkir sebuah pusat beli-belah ketika mangsa ingin mengambil tiket parkir dalam keretanya.
Kronologi kejadian berlaku apabila Ong dilaporkan keluar makan malam bersama beberapa ahli keluarga dan rakan rapatnya di sebuah kompleks beli-belah di Bangsar, Kuala Lumpur ketika itu.
BACA LAGI: Awas kaki cop parkir! Malaysia boleh tiru sistem 'cup suction' ajar pemandu tiada sivik
Selepas makan, mangsa pergi ke tempat letak kereta bawah tanah untuk mengambil tiket parkir dari keretanya sebelum dilaporkan hilang oleh ibunya yang menunggu lama di tingkat atas.
Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan Ong diculik oleh seorang lelaki yang memecah masuk ke dalam keretanya dan terus melarikan kereta terbabit dari lokasi berkenaan.
Menurut laporan The Star, siasatan polis selang beberapa hari kemudian berhasil menemukan mayat mangsa yang hangus ditemui di Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur.
Suspek, Ahmad Najib Aris, 40, dihukum gantung sampai mati pada September 2016 atas tuduhan membunuh Canny Ong dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang.
Susulan peristiwa hitam itu, masyarakat terutamanya golongan wanita mula menggesa agar hak perlindungan mereka lebih dilindungi pihak kerajaan.
Situasi bertambah kecoh apabila rata-ratanya melancarkan rusuhan dan mogok di jalanan yang mahukan ruang parkir khas bagi wanita.
Sekumpulan wanita membawa sepanduk dan poster bertulis 'zon khas wanita' sekitar ibu negara pada 2010.
Bertitik tolak daripada kes kematian Canny Ong, beberapa premis perniagaan dan pejabat mula memperkenalkan zon parkir wanita bagi tujuan keselamatan sejak 2012.
Kesedaran masyarakat terhadap jenayah di ruang parkir bertambah serius, sekali gus menjadi ikutan pelbagai sektor lain yang turut membina parkir khas buat golongan wanita.
Tambahan itu, kerajaan Negeri Selangor pada 2017 telah melancarkan 'Kempen Hormat Wanita' sebagai usaha mengangkat martabat wanita melalui pendidikan kepada masyarakat.
Inisiatif Hormat Wanita (IHW) yang pertama diperkenalkan adalah Parkir Ibu Hamil di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) bertujuan memberikan kemudahan dan keselesaan kepada golongan ibu yang bekerja daripada kakitangan kumpulan sokongan.
Sehingga kini, sudah menjadi kewajipan setiap ruang parkir memiliki zon khas untuk golongan wanita dan ibu mengandung dengan ia dilihat satu perkembangan positif negara ke arah perlindungan yang lebih mampan buat seluruh lapisan masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram