MEMPELOPORI industri yang dimonopoli kaum Adam bukan halangan buat anak Sarawak, Anniketyni Madian, meneruskan minat mendalamnya terhadap seni ukiran kayu.
Apatah lagi, Malaysia masih kekurangan pengukir dalam kalangan wanita yang bergiat secara aktif.
Anniketyni berbangga apabila dia menjadi antara wanita terawal di negara ini yang rutinnya sentiasa bergelumang dengan habuk kayu.
BACA LAGI: Terpaksa berhenti kerja jaga anak, saintis lebar sayap terokai bidang kosmetik
Anniketyni menolak tawaran untuk belajar kejuruteraan untuk meneruskan minatnya dalam seni. — Dinn Diran
Wanita berusia 38 tahun itu mengakui, peluang untuk mendalami bidang pertukangan kayu sentiasa terbuka untuk kaum Hawa, namun memiliki daya tahan kuat adalah elemen penting yang perlu ada untuk bertahan dalam bidang tersebut.
“Jika pengukir wanita di luar negara boleh cemerlang dalam industri ini, kenapa tidak wanita Malaysia?” soalnya.
Kongsi artis kontemporari kelahiran Kuching, yang kini menetap di Selangor itu berkata, kunci untuk terus hidup dalam industri itu adalah berani, kuat dan sabar.
Tambahnya, berada di sekeliling insan yang memberi motivasi juga sebenarnya sangat penting.
“Saya telah mengharungi bidang ini selama 16 tahun. Seseorang wanita harus berani dan memiliki kekuatan mental untuk mengukir nama dalam industri ini.
“Agak sukar untuk menemui pengukir dari Malaysia, apatah lagi pengukir wanita.
"Keadaan ini membolehkan kami lebih menonjol, namun di satu sudut lain, ia juga menyebabkan wanita berdepan masalah apabila ada sesetengah pihak yang meragui kebolehan kami," katanya.
Enggan melayan pandangan skeptikal tersebut, Anniketyni terus mengekspresikan perjalanan hidupnya melalui ukiran kayu yang dihasilkan di bengkelnya yang berlokasi di Kampung Bukit Lanchong di Shah Alam, Selangor.
Pada 27 Januri hingga 27 Februari tahun lalu, dia pernah mempamerkan karya ciptaan arca dinding berukuran 5 meter (m) x 2.4m bertajuk Lagenda Puteri Santubong (LPS) di pameran solo ketiganya, SUSEY di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC).
Namun akuinya, kebanyakan pelawat kurang percaya bahawa arca besar itu dihasilkan sendiri olehnya.
"Jadi saya perlu kerap berkongsi video dan imej proses studio saya untuk menghilangkan keraguan mereka.
“Namun, ia tetap tidak mempengaruhi diri ini kerana saya berdiri di sini atas usaha dan semangat untuk melakukanya," ujarnya yang mengadakan pameran solo pertama dan kedua, iaitu Massive Terratory dan Bejampong masing-masing pada 2011 dan 2017.
Anniketyni manganggap seni sebagai bahasa yang digunakan untuk menggambarkan asal usul, warisan dan perjalanannya.
Mengejar impiannya
Seni secara tradisinya boleh dianggap satu bidang yang banyak dikuasai lelaki dan tidak dinafikan penghasilan arca adalah satu sektor yang amat sukar ditembusi wanita.
Justeru seharusnya, pengiktirafan terhadap pengukir Sarawak itu patut diberi perhatian sewajarnya.
Sambil mengukir senyuman, Anniketyni berkongsi kisah dirinya yang menolak tawaran menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan awam di sebuah universiti awam untuk mengejar minatnya.
Dia sebaliknya mendaftar bagi program ijazah seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, pengkhususan dalam jurusan seni ukir.
"Saya menyembunyikan surat tawaran (belajar kejuruteraan) daripada ibu bapa kerana tidak mahu dipaksa untuk bekerja luar dari bidang yang diimpikan.
"Apabila dapat tahu, mereka kecewa. Kebimbangan terbesar mereka adalah sama ada saya boleh mencari rezeki sebagai seorang artis.
"Kita masih hidup dalam masyarakat yang menganggap keputusan untuk menjadi artis sepenuh masa belum tentu menjamin masa depan cerah," tambahnya.
Pameran SUSEY mempamerkan keupayaan Anniketyni untuk mengetengahkan naratif tradisi Sarawak ke hadapan menggunakan bahan seperti kayu, damar dan keluli tahan karat. — Dinn Diran
Persepsi itu berterusan membelenggu kedua orang tuanya sehinggalah pada suatu hari, dia mula menghantar sejumlah wang, hasil titik peluhnya kepada mereka.
Itu adalah titik perubahan yang mengubah segala-galanya, ibu bapa Anniketyni mula sedar anak perempuan mereka kini mampu menyara kehidupannya sendiri, meskipun berkecimpung dalam bidang seni sepenuh masa.
Sejak 15 tahun lalu, dia telah mengambil bahagian dalam program residensi di Pusat Seni Buffalo Creek di Nevada, Amerika Syarikat; Forum Belia Sedunia dan Simposium Arca di Mesir serta Simposium Arca di Armenia.
Anniketyni menyifatkan sebahagian besar kejayaannya adalah disebabkan sokongan keluarga, terutama suaminya yang berkhidmat sebagai seorang jurugambar, Dinn Diran.
“Saya bersyukur kerana suami sangat menggalakkan. Mempunyai pasangan yang memahami kerja kita adalah anugerah tidak ternilai.
"Sementara ibu bapa dan adik-beradik pula menjadi peminat terbesar saya,” kata ibu kepada seorang anak itu.
Mengimbangi kerjaya seninya dengan peranan sebagai ibu memberikan cabaran tersendiri, namun Anniketyni mengambil ujian itu sebagai perkara positif dan bertekad untuk tidak membiarkan dirinya terganggu.
“Saya amat menyayangi anak perempuan saya Mia Elena dan suka meluangkan masa bersamanya.
"Saya komited sepenuhnya kepada seni setiap kali saya bekerja di studio. Saya bekerja dari 9 pagi hingga 6 petang. Dalam hal ini, penting untuk saya menguruskan masa dengan seimbang," ujar penerima Top 30 untuk The Sovereign Asian Art Prize di Hong Kong pada 2020.
Wanita itu sentiasa mengusahakan idea, konsep dan bahan baharu sambil meraikan kepelbagaian budaya Sarawak.
Penjaga warisan
Dikenali dengan gayanya yang tersendiri, Anniketyni kini diangkat sebagai salah seorang tokoh terkemuka dalam industri seni tempatan.
Karyanya mempamerkan gabungan unik penerokaan bahan, refleksi tentang perkembangan tradisi kraf, kaligrafi Islam di samping memanfaatkan kekayaan warisan masyarakat Sarawak.
Sebagai anak Iban, Anniketyni memberitahu dirinya mendapat inspirasi daripada corak rumit yang terdapat dalam pua kumbu, tekstil tradisional yang ditenun oleh wanita Iban.
Arcanya turut menggabungkan motif tradisional dengan kontemporari.
“Saya mendapat inspirasi daripada kekayaan budaya dan cerita rakyat Sarawak.
"Memasukkan elemen seperti buaya, rumah panjang dan motif tradisional lain ke dalam arca membolehkan saya meraikan asal usul sambil mewarnai lagi persepsi seni Malaysia.
“Seni yang bertemakan masyarakat dan budaya sentiasa menarik minat saya dan saya gembira kerana orang ramai mula mengenali pua kumbu sebagai signature saya,” kata anak kelima daripada tujuh beradik itu lagi.
Portfolio Anniketyni merangkumi gabungan penerokaan bahan, perkembangan tradisi kraf, kaligrafi Islam dan warisan Sarawak.
Anniketyni telah menghasilkan beberapa arca yang ditauliahkan, seperti ukiran kayu untuk Mall of Medini di Johor Bahru dan satu lagi karya untuk pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Rom.
Reka bentuk karya seninya juga dipilih sebagai plak untuk Anugerah Seni Korporat 2016 Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB di Rom.
Anniketyni tidak jemu untuk meneroka pelbagai jenis sumber baharu walaupun ia belum tentu sesuai digunakan dalam karya seninya untuk masa akan datang.
“Saya pernah bekerja semata-mata dengan kayu. Sekarang, saya menggabungkan logam, resin epoksi dan plastik dalam kerja saya.
“Saya juga meneroka keluli tahan karat dan marmar. Cara ini berupaya membantu untuk saya terus berevolusi, namun masih mengekalkan elemen budaya Sarawak," ungkap wanita tersebut. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram