[VIDEO] Murung dan 7 bulan tak keluar rumah akibat rugi RM50,000, wanita Pasir Gudang bangkit hasilkan minyak urut berasaskan serai wangi


  • Bizz
  • Jumaat, 23 Ogos 2024

Rasinah turut menghasilkan minyat urut dan minuman herba yang sesuai digunakan untuk wanita dalam pantang.

PERNAH mengalami kerugian sehingga mencecah RM50,000 tidak menjatuhkan azam seorang usahawan yang juga ahli terapi bertauliah, Rasinah Bujang, 53, untuk kembali bangkit dan berdamai dengan takdir.

Wanita berasal dari Masai, Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor itu mengakui, melangkah ke alam perniagaan tanpa bekalan ilmu di dada adalah antara kesilapan besar yang pernah dilakukan seumur hidupnya.

Menceritakan permulaan dirinya berkecimpung dalam dunia bisnes sejak berumur 30 tahun, Rasinah memberitahu, keputusan untuk berhenti kerja dalam bidang pemasaran eksport di sebuah syarikat gergasi di Pasir Gudang, diambil selepas dirinya mulai bosan dengan tempoh kerja yang sama setiap hari.

BACA LAGI: Terpaksa berhenti kerja jaga anak, saintis lebar sayap terokai bidang kosmetik

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah terima 'bungkusan' tongkeng ayam dan rambut, Wan Azmir anggap hanya mainan psikologi takutkan peguam

"Saya tidak minat bekerja pada waktu pejabat (8 pagi hingga 5 petang), cukuplah 10 tahun. Jadi saya ambil keputusan untuk berhenti.

"Saya seronok buat bisnes sendiri dan ada masa yang lebih fleksibel untuk bersama anak-anak," katanya kepada Majoriti.

Justeru, ibu kepada dua anak lelaki, masing-masing berusia 13 dan 24 tahun itu kemudian memilih untuk menjalankan perniagaan berunsurkan makanan, urutan terapi dan servis penjagaan wanita berpantang.

Berhasrat untuk melebarkan produknya ke peringkat global, Rasinah dibantu seorang kenalannya untuk memasarkan makanan ringan buatannya, popia simpul keju di sebuah ekspo di Singapura pada tahun 2017.

WhatsApp Image 2024-08-22 at 12.51.48

Bahan-bahan yang digunakan Rasinah untuk membuat urutan kaki.

Melihat sambutan menggalakkan dalam kalangan penduduk Kota Singa, usahawan itu bertindak mencuba nasibnya sekali lagi, dengan memasarkan produknya ke ekspo sama pada tahun berikutnya, iaitu beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Rasinah sama sekali tidak menyangka, tindakan membawa masuk jualannya dengan sendiri tanpa ilmu perniagaan yang secukupnya telah memakan dirinya sendiri.

"Saya nak cuba buat sendiri tetapi tiada ilmu yang cukup. Jadi apabila saya masuk ke Singapura dengan pelbagai produk makanan, di sana rupanya saya diberi peluang untuk berjual selama tiga hari sahaja.

"Sekiranya produk tidak habis dijual, kita diberi dua pilihan iaitu sama ada bawa Malaysia atau dilupuskan.

"Nak dijadikan cerita kejadian tersebut berlaku sehari sebelum raya, jadi lori tidak dibenarkan masuk ke Singapura, menyebabkan barangan saya dilupuskan dan rugi sekitar RM50,000," jelasnya.

Kemurungan

Keadaan itu benar-benar mengakibatkan anak keempat dari 10 beradik itu jatuh terduduk dan dunianya kelam serta-merta.

Dia mula hilang motivasi diri dan enggan keluar rumah atau bersua muka bersama kenalan.

"Saya jadi gelisah, alami kemurungan agak teruk dan tidak keluar rumah kira-kira tujuh bulan.

"Saya sampaikan takut nak jumpa orang, penghantar kurier datang nak hantar barang atau surat pun saya bimbang.

"Pada masa itu juga saya kerap berkelahi dengan bekas suami disebabkan masalah kewangan, hingga pada akhirnya kami yakin berpisah adalah solusi terbaik kepada perhubungan ini," katanya yang mengambil keputusan untuk bercerai pada 2018.

Enggan terus merenung nasib, Rasinah kemudian memutuskan untuk bangun semula dan membina kehidupan baharu yang lebih baik.

Sesi luahan ditambah kata-kata semangat daripada gurunya berhasil memotivasikan dirinya untuk kembali bersemuka dengan dunia.

"Saya tahu tiada siapa yang akan ubah nasib ini, guru beritahu saya perlu ada titik noktah bagi mengatasi semua permasalahan ini dan bangkit semula.

"Oleh itu saya putuskan untuk mendapatkan rawatan psikiatri selama tiga hingga empat bulan sebelum betul-betul sihat dari segi mental dan fizikal.

"Saya belajar daripada kesilapan dan mahu kongsikan pengalaman ini supaya ia tidak terjadi kepada wanita-wanita lain yang nak mulakan bisnes," ujarnya yang turut mempelajari cara membuat minuman herba Cina.

WhatsApp Image 2024-08-22 at 12.51.49

Rawatan tradisional, tangas kering kebiasaannya digunakan untuk wanita selepas bersalin.

Pakar bertauliah

Menjalankan perniagaan berasaskan terapi urutan tradisional termasuk penjagaan wanita berpantang, pengasas I Smart Suri Enterprise yang beroperasi di Muar itu turut menyediakan produk keluaran sendiri.

Selain menjual makanan seperti popia simpul montok, dia juga menghasilkan healing stress oil yang berfungsi untuk melegakan saraf.

Healing stress oil diperbuat daripada minyak kelapa yang ditanak bersama minyak serai wangi.

"Minyak ini didatangkan dengan tekstur yang tidak melekit kerana ia dihasilkan sendiri.

"Selain itu, saya juga menyediakan minuman herba yang sesuai digunakan ibu-ibu selepas bersalin untuk mendapatkan semula tenaga.

"Minuman ini merangkumi lima bahan, antaranya termasuk buah goji yang berkhasiat untuk saraf, kurma merah, bunga kekwa dan gula batu yang baik untuk otak," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Rasinah turut memaklumkan, dia berjaya memperoleh kelayakan sebagai pengamal perubatan tradisional dan rawatan Islam yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun lalu.

"Saya memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 bagi kursus spa, sijil rawatan berpantang dan ibu bersalin serta tauliah sebagai perawat Islam daripada Pejabat Kadi Daerah Muar.

"Saya gunakan dokumen tersebut untuk diserahkan kepada KKM sebelum diberi kelayakan sebagai pengamal perubatan tradisional," tuturnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram