SEBUT sahaja linut, pasti ramai penduduk Sabah dan Sarawak mengetahuinya sebagai bahan berkanji yang biasa dinikmati bersama sambal atau hidangan lain.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, linut, diperbuat daripada tepung sagu yang dicampur dengan air panas meraih popularitinya sebagai penentang dalam proses pembuatan batik.
Lima tahun lalu, seorang ahli perniagaan yang berpangkalan di Mukah, Sarawak, Diana Rose, menemui satu inovasi yang mana linut digunakan dalam kaedah penentangan, berbanding menggunakan lilin seperti kebiasaannya.
Dengan mempromosikan batik linut dengan reka bentuk tradisional Sarawak, Diana ingin mempamerkan kekayaan warisan budaya Malaysia kepada dunia.
Beliau berkata, idea itu dicetuskan pada tahun 2019 apabila Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia Sarawak), Azran Arip berhasrat untuk memulakan komuniti batik baharu di negeri berkenaan.
Perkhabaran gembira tersebut disambut dengan baik oleh wanita berusia 59 tahun itu.
"Namun idea asalnya ialah menggunakan kanji ubi kayu sebagai medium penentang, tetapi ia tidak terlalu menarik minat saya.
"Oleh itu, saya memutuskan untuk memberi tumpuan kepada linut, hidangan diperbuat daripada tepung sagu yang berasal daripada pokok sagu.
"Tanaman ini sangat penting di Sarawak, ia mempunyai hubungan yang mendalam dengan akar budaya kita. Linut berfungsi sebagai kaedah penentangan yang hebat dalam reka bentuk tekstil," katanya baru-baru ini.
Linut merupakan produk makanan yang boleh terbiodegradasi.
Linut, bersama teknik seperti tanah liat dan cetakan kreatif (ecoprint) menjadi alternatif kepada kaedah penghasilan batik tradisional yang tidak melibatkan penggunaan lilin.
Diana melahirkan rasa bangga atas ideanya mempelopori kaedah baharu itu sekali gus berupaya memanfaatkan status Sarawak sebagai pengeluar utama sagu.
Menurutnya lagi, ia juga menjadi antara salah satu inisiatif untuk memelihara dan mempromosikan kepelbagaian warisan Sarawak.
"Linut bertindak sebagai pengikat yang berkualiti tinggi, ia menjadi melekit seperti lilin apabila kering, yang menghalang sebarang warna daripada menembusinya.
"Selain itu, linut juga merupakan produk makanan, menjadikannya mudah terbiodegradasi dan lebih mesra alam. Kami sedang bereksperimen dengan pewarna semula jadi seperti kunyit, nila dan buah naga untuk menjadikan batik linut kami dihasilkan sepenuhnya daripada organik,” jelas beliau.
Diana menggayakan apron, penutup kepala dan baju-T dengan batik linut.
Batik segar
Diana yang juga bekas wartawan The Star itu amat berbangga dengan warisan Melanau dan komited memeliharanya untuk generasi akan datang.
Melalui promosi batik linut dengan reka bentuk tradisional Sarawak, dia mahu mempamerkan kekayaan warisan budaya Malaysia di mata dunia.
Dia pernah ditugaskan di ibu pejabat The Star di Petaling Jaya, Selangor selain diberi peluang untuk berkhidmat di Kuching dan Miri, Sarawak.
Wanita itu nekad meninggalkan kerjaya penulisannya pada 2010, selepas hampir dua dekad demi menjaga ibunya yang semakin uzur, di samping mengendalikan inap desanya, Lamin Dana Cultural Lodge, di Mukah.
"Rekaan batik kami menyerlahkan budaya Sarawak dan Melanau, menggabungkan unsur-unsur seperti keriting pakis Orang Ulu, bunga melor dan motif tradisional lain.
"Kami menggunakan rekaan buah-buahan seperti sagu, daun palma, penutup kepala Melanau dan reka bentuk terendak (bentuk topi kon masyarakat Melanau), sambil turut menggabungkan corak Iban untuk mencipta permaidani yang benar-benar membawa simbol Sarawak.
"Batik linut bukan sekadar tradisi Melanau, ia adalah batik pertama Sarawak.
"Walaupun kami mempunyai tradisi yang kaya dalam tenunan dan songket, batik linut memberikan nafas segar," kata Diana, yang pernah bekerja dengan pereka Sarawak, mendiang Abdul Latif Mohti dengan motif menarik untuk fabrik batik linut mereka serta pakaian sedia untuk dipakai bagi lelaki dan wanita.
Jika linut terlalu berair atau terlalu melekit, ia boleh memberi kesan negatif kepada proses pewarnaan.
Diana mencatatkan salah satu pencapaian terbesarnya apabila batik linut menerima anugerah emas Majlis Pelancongan Malaysia untuk batik dan kraf pada tahun 2022.
Dia menjalankan perniagaan batiknya, dengan sokongan daripada Kraftangan Malaysia, dari Kampung Telian Tengah di Mukah kerana ia mengeluarkan jumlah sagu yang banyak sepanjang tahun.
Wanita periang itu turut menggaji lapan wanita, termasuk suri rumah, warga emas dan balu.
"Bagi kebanyakan daripada mereka, menjalankan perniagaan ini dan mencipta batik adalah satu pengalaman berharga, dalam masa sama menawarkan perspektif baharu.
"Sesetengah kakitangan amat teruja dengan peluang itu, kerana ia bukan sahaja memberi mereka peluang untuk memperoleh pendapatan tetapi juga membolehkan golongan berkenaan terlibat dalam aktiviti yang bermakna," ujar ibu kepada seorang anak perempuan berusia 16 tahun itu.
Diana juga telah menganjurkan bengkel dengan melibatkan lebih ramai belia untuk menghasilkan batik linut.
Setakat ini, dia telah melatih 30 penduduk kampung yang berumur antara 18 dan 24 tahun.
"Sambutan yang diterima adalah positif. Ramai yang melihat batik linut sebagai peluang untuk menjana pendapatan sambil membantu mengekalkan budaya Sarawak.
"Batik linut adalah konsep baharu dan ramai anak muda menunjukkan keterujaan mereka untuk meneroka bentuk batik yang unik.
"Kami juga mempunyai graduan universiti dan pelatih datang ke Kampung Telian Tengah untuk belajar mengenai pengeluaran batik linut. Saya percaya semangat dan keazaman adalah penting dalam memastikan projek seperti ini terus mampan," tuturnya.
Batik linut merupakan tambahan segar kepada kraf tradisional Sarawak.
Bergerak ke hadapan
Batik linut telah berada di pasaran sejak 2021 dan turut diketengahkan dalam Pameran Fesyen Kraf Sarawak 2023 di Kuching, serta pameran perdagangan di Kuala Lumpur dan Dubai.
Ia juga semakin berkembang jauh, walaupun Diana mengakui berdepan dengan beberapa cabaran dalam menyempurnakan proses itu.
Cabaran pertamanya adalah untuk mencapai konsistensi bancuhan sagu yang betul untuk digunakan sebagai perentang (recheck) dalam penghasilan batik.
Jika linut terlalu berair atau terlalu melekit, ia boleh memberi kesan negatif kepada proses pewarnaan.
Kedua, cabaran mencari bahan yang sesuai untuk menggunakan linut sebagai wax resist.
Tidak semua fabrik serasi, beberapa ujian perlu dilakukan untuk menentukan bahan yang paling sesuai dengan rintangan linut bagi memperoleh hasil yang optimum.
"Walaupun menghadapi cabaran ini, kami tetap berusaha untuk meneruskan percubaan kami.
"Kami mengambil masa selama dua tahun untuk cuba dan uji, tetapi pada penghujung 2021, kami berjaya menyesuaikan teknik tersebut kepada poplin kapas, viscose, sutera dan sifon.
"Oleh sebab ia dibuat menggunakan sagu, anda tidak boleh mendapatkan warna-warna terang seperti batik lain. Kebanyakan warnanya adalah pastel. Saya mahu melihat batik linut seperti Sarawak ketika bergembira, warnanya cerah dan tidak terlalu terang,” katanya.
Diana merancang untuk menjadikan batik linut lebih mampu dimiliki oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, Diana turut merancang untuk memperkenalkan produk dalam tiga kategori iaitu reka bentuk sutera mewah, pilihan pasaran pertengahan seperti fabrik bertema kartun, dan baju-T mampu milik.
Jelasnya, pendekatan itu bertujuan memenuhi khalayak yang luas, dengan mata harga antara RM90 hingga RM1,000, memastikan semua orang berpeluang merasai dan menghayati batik linut.
Diana mengakui mempromosikan batik linut dalam pasaran yang kompetitif terutama dengan tradisi batik yang sudah mapan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang memang menimbulkan kebimbangan.
"Namun pertandingan ini dilihat sebagai satu peluang dan bukannya halangan.
"Kehadiran batik tradisional ini memberikan perspektif segar dan meletakkan batik linut sebagai alternatif yang unik.
"Ia menonjol sebagai kategori tersendiri dalam persada batik Malaysia, mempamerkan keistimewaannya, kualiti dan inovasi.
"Batik linut mempunyai banyak potensi kerana kami adalah perintis pembuat batik di Sarawak," akhirinya. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram