Penduduk Tanjung Tualang sepakat tukar tanah terbiar jadi ladang salad


  • Bizz
  • Khamis, 08 Ogos 2024

Pelaksanaan projek yang bermula sejak awal Mei itu dibantu dengan peruntukan daripada Dana Komuniti Madani.

INISIATIF sekumpulan penduduk Kampung Batu 8, Jalan Tanjung Tualang, Kampar, Perak mengubah lot tanah terbiar kepada tapak projek penanaman salad secara hidroponik berbaloi apabila hasilnya berjaya memanfaatkan komuniti setempat.

Ketua projek Mohmad Fazar Fadzillah, 37, berkata, pelaksanaan projek yang bermula sejak awal Mei di tapak berkeluasan 0.1 hektar itu, dibantu dengan peruntukan daripada Dana Komuniti Madani berjumlah RM80,000, yang disalurkan kepada mereka melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Menurutnya, tanah berkenaan pada asalnya terbiar disebabkan sering ditenggelami air akibat banjir kilat.

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

BACA LAGI: Sanggup lupakan hobi kumpul setem, simpan emas jauh lebih lumayan

Young farmer is holding vegetable green oak, Hydroponic eco organic modern smart farm 4.0 technology

Tanaman salad ini juga mudah dijaga selain sukar diserang pelbagai penyakit. — Gambar hiasan

"Jadi untuk mengelakkannya daripada terus terbiar, kami nekad untuk melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat.

"Saya dapat tahu tentang peruntukan melalui dana ini selepas menonton (televisyen) ucapan perdana menteri dalam Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya 2023, pada penghujung November tahun lepas," katanya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 8 berkata, beliau bersama beberapa ahli jawatankuasa kampung kemudian mengadakan mesyuarat dan memutuskan untuk mengusahakan penanaman salad tersebut.

Berkongsi tentang perkara itu, jelas Mohmad Fazar, mereka memohon geran pada 28 Mac lalu menerusi laman web MySejaTiMADANI.

"Sebulan kemudian permohonan diluluskan, kami menggunakan peruntukan melalui permohonan tersebut untuk menjayakan projek penanaman salad ini," katanya.

WhatsApp Image 2024-08-07 at 21.47.31

Sebanyak 1,300 pot disediakan bagi penanaman salad jenis karang itu.

Beliau berkata, sebanyak 1,300 pot disediakan bagi penanaman salad jenis karang itu melibatkan penyertaan seramai 16 peserta terdiri dalam kalangan penduduk Kampung Batu 8.

Mengulas lanjut tentang pelaksanaan projek tersebut secara umum, Mohmad Fazar menjelaskan, selain harga yang tinggi di pasaran, penjagaan dan penyelenggaraan lebih mudah menjadi faktor utama mereka memilih untuk menanam salad jenis karang.

"Harga satu kilogram (kg) salad jenis ini di pasar raya atau tempat-tempat tertentu sekitar RM15 sehingga RM20.

"Ini faktor utama selain tanaman salad ini juga mudah dijaga selain sukar diserang pelbagai penyakit.

"Proses tumbesaran tanaman ini juga hanya mengambil masa sekitar 30 hingga 45 hari untuk matang dan boleh dituai untuk proses jualan kepada masyarakat sekitar," tuturnya.

Ditanya tentang perancangan masa depan berkaitan projek itu, Mohmad Fazar berkata, mereka akan meluaskan pasaran salad berkenaan, selain mempelbagaikan jenis tanaman di tapak berkenaan.

WhatsApp Image 2024-08-07 at 21.46.45

Proses tumbesaran tanaman ini juga hanya mengambil masa sekitar 30 hingga 45 hari untuk matang.

Sementara itu, Penolong Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti Madani ICU JPM, Nor Hanis Mazlan berkata, pelaksanaan projek yang tertakluk di bawah Program Komuniti Madani ini, secara dasarnya untuk merancakkan ekonomi komuniti setempat termasuk di kawasan pedalaman.

"Kerajaan menyediakan peruntukan melalui Dana Komuniti Madani, iaitu memperuntukkan nilai geran bermula dari RM50,000 hingga RM100,000 bagi membantu komuniti melaksanakan program yang boleh meningkatkan pendapatan komuniti," katanya.

Jelas Nor Hanis, mana-mana komuniti yang berminat untuk melaksanakan projek seumpama ini, perlu membuat permohonan penuh melalui sistem pada laman web MySejaTiMADANI.

"Dana ini bukan hanya tertumpu pada sektor pertanian dan makanan sahaja, sebaliknya mana-mana komuniti yang berminat untuk melaksanakan projek lain seperti jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, hospitaliti dan pelancongan, serta aktiviti hijau dan kitar semula juga boleh memohon," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram