GARA-GARA kecuaian pemandu yang tidak menarik brek tangan ketika meletakkan kenderaan, dua penunggang motosikal menerima nasib buruk selepas menjadi mangsa kemalangan apabila kenderaan tersebut berundur secara tiba-tiba.
Video kejadian dipercayai melibatkan kenderaan Perodua Ativa versi hibrid di sebuah pusat servis kenderaan di Balakong, Cheras Selangor itu tular di media sosial sejak Sabtu.
Menerusi klip berdurasi 46 saat, kereta berwarna putih terbabit pada awalnya dilihat dipandu masuk ke perkarangan pusat servis kenderaan berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Pertama kali berlaku, kuasa Speaker Dewan Rakyat penentu nasib kerusi 6 MP BERSATU
BACA LAGI: Bukan deposit tetap mana-mana parti, PRK Sungai Bakap mungkin saksikan persaingan terbuka 4 penjuru
Bagaimanapun, tidak sampai beberapa saat, kenderaan itu didapati berundur secara tiba-tiba dalam keadaan pintu penumpangnya terbuka.
Situasi tersebut menyebabkan kereta berkenaan terbabas secara mengundur dan keluar melintasi pintu masuk kawasan pusat servis terbabit dan seterusnya ke jalan utama.
Pada masa sama, terdapat sekurang-kurangnya dua penunggang motosikal yang tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta itu.
Kenderaan terbabit kemudiannya dilihat terus berundur sebelum berhenti betul-betul di lorong kanan jalan utama terbabit.
Status kecederaan kedua-dua penunggang motosikal terbabit bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Namun, menerusi maklumat awal dikongsikan di media sosial, kemalangan itu melibatkan seorang penunggang wanita dan lelaki warga asing.
Sekurang-kurangnya dua penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan tersebut.
Difahamkan, penunggang wanita terlibat mengalami kecederaan di bahagian kaki.
Dalam pada itu, rata-rata daripada warga maya melahirkan kekesalan mereka terhadap pemandu kereta terbabit yang cuai sehingga menyebabkan kemalangan terhadap pengguna jalan raya lain.
"Sakitnya hati bila tengok ada manusia cuai macam ni," tulis jllmisai.
"Inilah tabiat buruk yang orang tak suka masuk gear P masa turun kereta. Kau biar saja gear kereta tinggal di N saja.
"Brek tangan dan parkir suis pun tak tarik. Tolonglah masuk gear P masa turun kereta, gear P tu tak rosakkan pun gearbox kereta kamu," ujar Chin Lai Jun.
Dalam pada itu, terdapat juga warga maya mendakwa bahawa ketika kejadian, kenderaan terbabit dipercayai dipandu oleh pekerja di pusat servis berkenaan.
"Nampak gaya macam staf *** yang bawa sebab kalau kereta pelanggan, tiadanya dia parkir sadai macam itu. Pelanggan biasanya akan cari tempat parkir," kata Ayieb Sabah Assabahi.
"Ada seseorang yang akan dipecat," tulis noteworthytopcs.
Tarikh dan waktu sebenar kejadian tersebut bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram