TUGAS pengawal keselamatan sering kali dipandang rendah segelintir masyarakat yang melabel pekerjaan itu sebagai kelas bawahan yang hanya sesuai diceburi pendatang asing.
Meskipun sentiasa berdepan risiko kecederaan ataupun serangan jenayah, pekerjaan itu dianggap mudah dan senang dilakukan tanpa sebarang tekanan ketika bertugas.
Tegas menolak dakwaan itu, Presiden Persatuan Pengawal Keselamatan Bersatu Malaysia (MUSGA), Mohd Nizam Hamzah, 56, membongkar kisah suka duka bergelar seorang pengawal keselamatan.
BACA LAGI: Terlepas tembakan shotgun ketika bertugas, pengawal keselamatan ditahan polis di Alor Gajah
"Berat bahu memandang, berat lagi bahu memikul, masyarakat yang kata kerja pengawal ini mudah sebab mereka lihat dari luaran sahaja.
"Kerja pengawal ini boleh dikatakan hampir 100 peratus guna mata, jadi bayangkan tugas kami sebenarnya tak boleh hilang fokus ataupun lalai mengawal selia sesebuah lokasi.
"Di sekolah misalnya, pengawal bukan sahaja perlu pastikan keselamatan pelajar malah, guru, dokumen dan harta sekolah pun semuanya kami yang bertanggungjawab, kalau ada kes samseng atau pencerobohan kami yang pertama akan berdepan dengan mereka," katanya kepada Majoriti.
Mohd Nizam merupakan Ketua Presiden Persatuan Pengawal Keselamatan Bersatu Malaysia.
Tambahnya, tugas seorang pengawal yang terpaksa bekerja 12 jam sehari tanpa cuti sebulan, antara cabaran terbesar perlu dihadapi kerana tiada sebarang akta yang melindungi hak mereka.
"Setakat ini tak ada sebarang akta ataupun undang-undang yang melindungi pengawal keselamatan daripada ancaman jenayah, kalau kata kami diserang samseng tiada akta boleh digunakan untuk jaminan kami di mahkamah.
"Sebab itu orang ramai tak hormat pada kami, malah ada yang mempertikaikan tugas pengawal yang dikatakan makan gaji buta.
"Dalam keadaan kami yang biasanya bertugas seorang diri, apa yang mampu dilakukan jika samseng datang secara berkumpulan, itu pun masih ada yang hina kerjaya kami," ujarnya.
Ketika disoal berhubung perubahan serta penambahbaikan yang diinginkan dari pihak kerajaan, Nizam menggesa agar peralatan senjata pengawal dinaik taraf ke peralatan lebih berkualiti.
Ketika ini, setiap pengawal dibekalkan dengan cota kayu namun menurutnya, ia kurang sesuai dengan ancaman jenayah zaman kini yang dianggap semakin bahaya.
"Penjenayah biasanya akan bawa senjata parang ataupun pistol, jadi dengan cota kayu kami apa la sangat jika nak dibandingkan dengan mereka.
"Logik akal mana boleh cota nak lawan dengan parang, silap-silap kami yang parah.
"Kerajaan perlu naik taraf kelengkapan kami, gantikan cota kayu dengan besi yang boleh tahan lama, kalau kayu ini mudah reput jadi perlu ditambah baik bersesuaian dengan keadaan sekarang," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram