
BARU-baru ini, tular video mempromosikan sebuah pusat kediaman persaraan di Seremban, Negeri Sembilan.
Klip berkenaan mendapat perhatian kerana rekaannya disifatkan cukup mewah dan setaraf resort peranginan lima bintang.
Keadaan itu sama sekali berbeza dengan wajah kebiasaan penempatan rumah orang-orang tua yang lazimnya lebih dekat dengan imej seperti rumah kebajikan.
BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain
BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta
Di dalam video terbabit, Diane Chia yang juga pengarah eksekutif Millennia Village memberikan gambaran mengenai perkhidmatan ditawarkan pusat kediaman warga emas atau persaraan tersebut yang dibina khas di Seremban.
Menerusi klip berkenaan, wanita itu menjelaskan bahawa kadar sewaan di situ bermula pada harga RM5,500 sebulan.
Bayaran itu adalah bagi kelengkapan bilik berperabot yang dilengkapi perkhidmatan penjagaan berkala, hidangan makan dua kali sehari, gim impak rendah dan suasana pemandangan menarik.
Pengarah Eksekutif Millennia Village, Diane Chia.
Diane dan bapanya, John Chia merupakan pemilik syarikat semikonduktor, Unisem (M) Bhd yang mana beliau adalah pengerusi dan pengarah urusan.
Syarikat tersebut membuat keputusan melakukan pelaburan bagi projek tersebut yang mentransformasikan bekas tanah kuari menjadi pusat kediaman untuk warga emas.
Dalam proses tersebut, mereka memilih untuk memelihara persekitaran semula jadi di lokasi berkenaan, mewujudkan satu tapak semaian pertanian seluas tiga ekar di menyediakan peluang buat penghuni bagi melakukan aktiviti mendaki.
Bagaimanapun persoalannya, adakah perkampungan tersebut akan mendapat sambutan? Jawapannya masih belum diketahui.
Namun, Diane berkata, sejak pelancaran rasminya baru-baru ni, pihaknya tidak putus-putus menerima panggilan untuk bertanyakan mengenai perkhidmatan ditawarkan.
Beberapa daripadanya turut melakukan penginapan jangka pendek untuk mencuba kehidupan di perkampungan tersebut.
Bukan tipikal rumah jagaan warga emas
Diane mengakui bahawa ia mungkin akan mengambil sedikit masa bagi meyakinkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk tinggal bagi jangka panjang di Millennia Village.
Millenia Village bukanlah tipikal rumah jagaan untuk orang tua yang sakit atau pusat kemudahan bagi membantu mereka yang memerlukan penjagaan tambahan.
Sebelum ini, terdapat usaha dan perancangan untuk mewujudkan resort perkampungan warga emas namun, belum ada yang membuahkan hasil.
Kehidupan berasaskan komuniti ini, disertai dengan kemudahan dan aktivitinya perlu dibezakan daripada projek pembangunan hartanah yang hanya menjadikan hartanah mereka mesra warga emas dan menjual unit tersebut.
Penghuni Millennia Village turut disajikan dengan pemandangan yang indah di pusat kediaman mereka.
Di Millennia, orang ramai tidak boleh membeli mana-mana unit kerana ia hanya menggunakan model berasaskan sewaan sahaja.
Model ini menunjukkan kejayaan di negara seperti Australia, Amerika Syarikat (AS) dan sebahagian negara di Eropah.
Namun, isu perbezaan budaya dilihat menjadi masalah utama di Asia keranan golongan muda sememangnya memainkan peranan menjaga ibu bapa mereka.
Dalam situasi di mana timbulnya keperluan tambahan bagi menguruskan orang tua, anak-anak lebih cenderung untuk mendapatkan bantuan pembantu rumah dan penjaga.
Pada masa sama, warga emas di Asia juga mempunyai kecenderungan tidak membelanjakan terlalu banyak wang untuk diri mereka sendiri dan lebih suka menyerahkan kekayaan kepada anak-anak.
Namun, amalan ini dikatakan semakin berubah ekoran beberapa perkembangan baharu.
Pertama, perkhidmatan mengupah pembantu rumah dan penjaga dilaporkan kini menjadi semakin mahal.
Kedua, dengan penghijrahan bakat tempatan yang berterusan keluar dari Malaysia terutamanya dalam kalangan kelas menengah yang berpendidikan, ramai anak-anak tidak lagi tinggal di dalam negara.
Disebabkan situasi itu, anak-anak dikatakan terpaksa menguruskan ibu bapa mereka dari jauh.
Mengulas mengenai fenomena tersebut, John berkata, pilihan semasa yang wujud dalam hal penjagaan ibu bapa dilihat tidak begitu mapan daripada segi kos yang perlu dikeluarkan.
“Apabila anda mengira jumlah kos menguruskan rumah tangga, semuanya bertambah. Bil, pembantu rumah, makanan, masa yang dihabiskan untuk pergi dan balik ke pasar dan risiko yang terlibat, terutamanya jika seorang warga emas sering mahu memandu,” katanya.
Penghuni di Millennia Village turut disediakan dengan perkhidmatan bantuan penjagaan dan makanan harian.
John bagaimanapun berkata, tidak semua orang benar-benar melakukan pengiraan tersebut.
Pada masa sama, sentimen semasa mendapati warga emas di Malaysia dikatakan lebih suka memiliki rumah yang mereka diami berbanding menyewa.
Namun, John berpandangan, dalam situasi tersebut, terdapat pilihan lain yang boleh diterokai oleh kumpulan tersebut.
Ini kerana menurutnya, dengan menyewa kediaman dimilikinya, golongan terbabit sebenarnya boleh berpindah ke Millennia untuk menikmati gaya hidup yang bebas masalah di samping menerima penjagaan rapi.
Model pembiayaan
Walaupun Malaysia mempunyai sejumlah besar pemaju hartanah yang mapan, tiada satu pun yang berjaya mengoperasikan resort pusat persaraan yang serupa seperti Millennia Village.
Sebabnya cukup mudah: Ia adalah model yang berbeza sama sekali, daripada cara pemaju hartanah beroperasi.
Menariknya, dalam kes Diane, syarikatnya memperoleh sebidang tanah di Seremban suatu masa dahulu dan seperti dijelaskan John, mereka tidak mempunyai sebarang tekanan untuk mendapat pulangan daripada aset tersebut.
“Ini adalah permainan jangka panjang. Kami bukan pemaju hartanah tetapi penyedia perkhidmatan,” katanya.
Pesaing terdekat dengan Millennia Village ialah kediaman warga emas kumpulan Sunway yang dipanggil Sunway Sanctuary, terletak bersebelahan Pusat Perubatan Sunway.
Mereka turut menggunakan model sewaan bilik bermula daripada RM8,050 sebulan.
Sunway Sanctuary juga menawarkan bilik yang dilengkapi dengan ruang tamu dengan harga yang lebih mahal.
Millennia Village dibina di atas tanah bekas kuari yang ditransformasikan menjadi pusat kediaman persaraan.
Secara asasnya, tawaran utama perkhidmatan mereka adalah melibatkan penjagaan kesihatan bermula daripada pemeriksaan perubatan harian asas kepada keupayaan untuk membawa penduduk dengan cepat ke ruang pembedahan kecemasan.
Dilancarkan tahun lalu, kemasukan penghuni ke Sunway Sanctuary dilaporkan masih lagi belum cukup memberangsangkan.
Bagaimanapun, pada masa sama perlu diingatkan bahawa penyediaan rumah jagaan kini sedang berkembang pesat di Malaysia dengan ia terus tumbuh di beberapa bandar besar.
Pada waktu ini, kemudahan penjagaan warga emas yang dibiayai oleh kerajaan dilaporkan masih belum mencukupi dan rata-ratanya tidak dikendalikan dengan cukup baik.
Keadaan itu menyebabkan sektor swasta mula mengambil bahagian untuk memenuhi keperluan sebahagian daripada golongan tersebut yang tidak lagi boleh hidup secara bersendirian di dalam persekitaran rumah.
Namun, sektor ini masih memerlukan lebih banyak penyeliaan untuk memastikan kualiti asas perkhidmatan dan harga seperti peraturan yang tertakluk kepada kemudahan perubatan.
Namun, keperluan untuk mengawal selia kemudahan kehidupan persaraan dilihat masih belum mendapat perhatian sewajarnya.
Perniagaan sebegini perlu mendapatkan sokongan padu daripada warga emas mereka yang berkemampuan dan tidak keberatan bagi menyewa dan memiliki taraf hidup yang dimahukan.
Negara ketika ini berkemungkinan besar berada di titik permulaan terhadap isu tersebut, walaupun ia menunjukkan permulaan yang perlahan.
Kejayaan atau kegagalan Millennia Village pastinya akan menjadi rujukan mengenai keberhasilan perkhidmatan tersebut. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram