HANYA bermula dengan minat, seorang bekas jurutera petroleum berjaya menukarkan hobinya kepada perniagaan yang memberikan pulangan lebih stabil.
Tidak cukup dengan itu, perniagaan gimnasium yang beroperasi di Bandar Botanik, Klang, Selangor diusahakannya turut sudah memberikan manfaat kepada ratusan pelanggannya sejak sedekad lalu.
Berkongsi kepada Majoriti, pemilik pusat kecergasan Trinity Dulus, Dominic Hong Kim Hsu, 40, berkata, minatnya terhadap sukan bina badan dan penjagaan nutrisi makanan bermula sejak awal sewaktunya melanjutkan pengajian ke pusat pendidikan pengajian tinggi.
BACA LAGI: 'Ada kutuk, perlekeh', pensyarah ADTEC Pahang buktikan inovasi bantu OKU beri pulangan RM80,000
"Dari waktu umur 20-an ketika zaman universiti termasuk sehingga waktu dah mula kerja, memang kalau balik kelas sahaja, mesti pergi gim.
"Kemudian bila dah bekerja di offshore, biasanya memang tak banyak benda yang kita boleh buat dekat atas pelantar tu. Jadi selalu saya akan bawa macam buku-buku atau e-buku semua isu mengenai diet pemakanan dieting dan senaman.
"Tapi pada waktu itu, saya memang tak terfikir untuk berkongsi atau melatih orang lain," katanya.
Dominic berkata, idea membuka gimnasium tersebut timbul secara tidak sengaja ketika dia mengambil keputusan bercuti panjang daripada pekerjaan bagi menyambung pengajian ijazah sarjana muda kedua dalam bidang nutrisi di sebuah universiti swasta sekitar 2012.
Dominic (kiri) berkata, minatnya terhadap sukan bina badan dan penjagaan nutrisi makanan bermula sejak awal sewaktunya melanjutkan pendidikan ke pusat pengajian tinggi. — Trinity Dulus
Pada ketika itu, dia pada awalnya hanya menggunakan waktu terluang selama kira-kira tiga bulan sebelum memasuki semester pertama dengan mencuba-cuba menjadi jurulatih kecergasan peribadi kepada seorang individu.
"Masa itu adalah seorang minat untuk tahu macam mana nak belajar bersenam kat gim. Jadi, saya ajaklah dia. Kemudian daripada satu orang, dalam masa beberapa bulan ada sampai empat pelatih yang belajar bersama saya," ujarnya.
Menurut Dominic, bertitik tolak daripada itu, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk tidak menyambung pengajian seperti dirancang dan menumpukan perhatian menjadi jurulatih peribadi kecergasan sambilan selama dua tahun sebelum membuka Trinity Dulus pada 2014.
Sedia latihan peribadi untuk pelanggan
Dominic berkata, ketika mula membuka pusat kecergasan tersebut, dia memerlukan modal sebanyak kira-kira RM300,000 untuk membeli peralatan senaman yang diperlukan.
Ujarnya, untuk tujuan tersebut, dia menggunakan duit simpanan yang dimilikinya ketika bekerja sebagai jurutera petroleum di samping turut mendapat pinjaman daripada keluarga terutama daripada bapanya yang sangat menyokong hasrat tersebut.
Trinity Dulus kini mempunyai seramai kira-kira 40 pelatih yang mendaftar di bawah programnya. — Trinity Dulus
Dalam pada itu, Dominic berkata, berbeza dengan gim lain, Trinity Dulus yang kini mempunyai lima orang jurulatih menyediakan latihan yang khusus mengikut keperluan pelanggannya.
Tambahnya, setiap pelanggan juga perlu melalui pemeriksaan kesihatan termasuk ujian pengambilan darah bagi memastikan latihan disediakan sesuai dengan tahap kesihatan masing-masing.
"Kita ajar dia macam mana nak senam dengan cara yang betul supaya mereka boleh dapat result. Kemudian pada masa sama, kita buat diet untuk mereka berdasarkan tahap kesihatan mereka juga. Kiranya setiap orang yang nak masuk ni memang kena melalui satu latihan penuh.
"Kita juga dapatkan info ujian darah untuk menyediakan perancangan diet yang sesuai. Kita nak pastikan kalau dia ada isu kesihatan dan sebagainya, kita membantu mereka daripada segi itu. Kita tidak mahu latihan yang disediakan sampai membahayakan kesihatan.
"Ini kerana waktu lakukan proses ini, kita pernah jumpa individu yang sebenarnya tak tahu mereka itu ada masalah buah pinggang. Jadi bayangkan kalau kita tak periksa kemudian terus bagi makan ayam dan protein yang tinggi, memang akan habis (kesihatan)," katanya.
Pada waktu ini, Dominic berkata, terdapat seramai 40 pelanggan yang mendaftar untuk mendapatkan perkhidmatan latihan di bawah kendalian pusat kecergasannya.
Adakah untung bila buka gim?
Dominic (kiri) memberikan tunjuk ajar kepada pelatih di gim miliknya. — Trinity Ludus
Sementara itu, berkongsi lebih lanjut, Dominic berkata, faktor kewangan bukanlah tujuan utamanya yang berada di dalam fikirannya semasa dia membuat keputusan bagi membuka perniagaan Trinity Dulus.
"Kalau kamu nak masuk bidang perniagaan ini (gim) semata-mata untuk buat duit, ada banyak lagi bisnes lain yang saya rasa lebih baik dan datangkan banyak.
"Kita ada keuntungan, tapi nak cakap banyak sangat itu tak adalah. Bagi saya, yang lebih penting adalah kamu kena ada hati nak bantu orang kerana dalam tempoh tersebut, kamu akan berdepan dengan pelbagai cabaran.
"Tekanan boleh berlaku daripada pelbagai segi. Ada hari mungkin kamu letih untuk melatih. Ada waktu mungkin pelanggan tak banyak. Kemudian ada juga waktu pelanggan akan berhenti berlatih buat sementara waktu.
"Jadi yang akan terus push kamu bila berlaku situasi begini adalah niat sebenar kamu iaitu untuk bantu orang," ujarnya.
Sepanjang beroperasi, Dominic berkata, terdapat pelbagai pelatih berjaya dibantu dari mereka yang mengalami masalah berat badan, kesihatan sehingga individu yang mempunyai masalah keyakinan diri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram