KETIKA kebaikan sering kali dipandang sepi, adalah menjadi suatu inspirasi jika dapat melihat tindakan individu atau kumpulan tertentu yang penuh berdedikasi menjaga kesejahteraan sejagat.
Mereka ini bukan sahaja tidak mementingkan diri sendiri, tetapi juga menunjukkan komitmen dalam memberikan impak berkekalan untuk komuniti masing-masing tanpa mengira kaum, latar belakang atau kedudukan sosial.
'Star Golden Hearts Award' (SGHA) edisi ke-10 anjuran The Star kembali lagi pada tahun ini bagi memaparkan kisah luar biasa wira tidak didendang dalam kalangan masyarakat di Malaysia yang tanpa jemu berusaha mencipta perubahan sosial yang positif.
BACA LAGI: Dosz Coffee buka cawangan ke-10 di Phileo Damansara, tawar kopi lokal pelbagai perisa menarik
BACA LAGI: iMHome Property, KAB Gold tawar peluang miliki rumah impian hanya guna emas
“Sempena Ulang Tahun ke-10, kami memilih tema yang mewakili semangat bekerjasama untuk membina masyarakat lebih inklusif, saksama dan hormat-menghormati.
"Bertemakan ‘Satu Jiwa, Kudratnya Berjuta’, SGHA dengan bangganya menandakan pencapaian untuk mengetengahkan pemenangnya yang ke-100 selepas hampir sedekad memberikan pengiktirafan terhadap wira yang jasanya tidak didendang di Malaysia.
"Ini juga seterusnya memberikan penekanan terhadap usaha anugerah ini untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada mereka yang membuat perubahan positif yang mapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group (SMG), Chan Seng Fatt.
Sejak pertama kali dianjurkan pada 2015, SGHA telah menjadi mercu tanda pengiktirafan dan penghargaan terhadap kumpulan yang usaha luar biasanya sering tidak disedari.
Anugerah ini kemudiannya berkembang dan muncul sebagai satu program yang memberikan pengiktirafan terhadap perbuatan baik, sama ada yang dilakukan sekali sahaja atau inisiatif jangka panjang dan mampan untuk kebaikan masyarakat.
Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, seramai 10 pemenang yang layak akan dipilih oleh panel hakim terkemuka dengan pelbagai latar belakang dan pengalaman dalam usaha impak sosial.
SGHA menyediakan hadiah wang tunai keseluruhannya berjumlah RM150,000 dengan setiap pemenang akan menerima RM15,000 selain pendedahan dan liputan media.
Secara keseluruhannya, SGHA menyediakan hadiah wang tunai keseluruhannya berjumlah RM150,000 dengan setiap pemenang akan menerima RM15,000 selain pendedahan dan liputan media terhadap inisiatif sosial mereka.
Pemenang juga akan menyertai rangkaian pemenang eksklusif SGHA yang menyediakan peluang untuk rangkaian dan kerjasama bagi pelaksanaan perubahan pada masa akan datang.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan untuk mencalonkan wira harian mereka sebagai penghargaan atas sumbangan luar biasa individu dan kumpulan terbabit.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Kandungan SMG, Datin Paduka Esther Ng berkata, usaha mengetengahkan SGHA dibuat berasaskan kepercayaan yang mendalam terhadap impak yang boleh dibawa di peringkat individu mahupun komuniti terhadap orang ramai.
“Sebagai akhbar berbahasa Inggeris terkemuka di Malaysia, platform kami menyediakan keterlihatan yang tiada tandingan, membolehkan wira yang memberi inspirasi ini menjangkau khalayak yang lebih luas melalui publisiti yang lebih tinggi, imej jenama yang dipertingkatkan serta kredibiliti untuk pemenang dan calon.
"Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf usaha mereka, tetapi juga mengukuhkan impak dalam menggalakkan lebih ramai orang menyokong usaha dan menyertai misi mereka untuk perubahan sosial," tambahnya.
Kategori ditampilkan di bawah anugerah ini diselaraskan dengan lima tunjang bertemakan kemapanan iaitu Pemerkasaan Komuniti; Pendidikan; Alam Sekitar dan Hidupan Liar; Kebajikan Sosial serta Krisis dan Bantuan Bencana.
Dalam pada itu, Chan menjelaskan bahawa pemilihan kategori itu dilihat selari dengan etos kemapanan SMG yang menekankan matlamat untuk membawa perubahan dengan memperkasakan komuniti melalui tindakan bermakna bagi membantu pelbagai pihak merealisasikan potensi masing-masing.
“Misi kami sebagai salah satu syarikat media terkemuka adalah untuk memastikan orang ramai terus mendapat maklumat yang mampu memberikan inspirasi menerusi perkhidmatan dan kandungan yang inovatif.
"Setiap daripada tunggak diketengahkan akan memberi ilham kepada orang lain untuk mengejar matlamat yang menyasarkan manfaat kolektif di mana individu, pertubuhan bukan kerajaan, perusahaan sosial dan masyarakat sama-sama boleh dicalonkan bagi usaha dilaksanakan melibatkan aspek sosial masing-masing," katanya.
“Sejak SGHA mula-mula ditubuhkan, ia telah mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada 90 wira yang tidak kenal erti penat lelah. Dengan mempamerkan pencapaian luar biasa wira kita yang tidak didendang, kami berharap dapat menyumbang kembali kepada komuniti di sekeliling kita sambil memotivasikan orang lain untuk melangkah ke hadapan bagi memacu perubahan.
“Anugerah ini adalah sesuatu yang berbeza kerana ia juga menggalakkan budaya empati dan penglibatan proaktif serta mengingatkan kita semua bahawa setiap individu mempunyai potensi memacu perubahan positif dan membuat perubahan dalam masyarakat.”
Orang ramai boleh mencalonkan individu dan organisasi yang memenuhi kriteria pemilihan seperti digariskan di www.sgha.com.my dari sekarang hingga 31 Julai 2024.
SGHA adalah anugerah tahunan oleh The Star yang mengiktiraf wira tidak didendang Malaysia dalam memberi impak positif kepada masyarakat dan menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
SGHA dianjurkan oleh Star Foundation iaitu badan amal di bawah Star Media Group.
Untuk maklumat lanjut mengenai SGHA, sila layari https://www.sgha.com.my/. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram