Lebih 50,000 penjawat awam terlibat penstrukturan semula akaun KWSP mulai 11 Mei


  • Bizz
  • Sabtu, 27 Apr 2024

Penjawat awam yang mencarum dengan KWSP akan menikmati kemudahan Akaun Fleksibel. — THE STAR/AZHAR MAHFOF

SELAIN daripada pekerja swasta, seramai lebih 50,000 penjawat awam di negara ini akan menikmati penstrukturan semula akaun dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perkara ini disahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) apabila seramai 52,442 penjawat awam akan menikmati kemudahan yang membolehkan satu-satu pencarum di bawah 55 tahun mempunyai tiga jenis akaun.

Dalam pengumuman yang dilakukan oleh JPA di media sosial, penjawat awam yang layak akan bersama-sama pekerja swasta yang lain untuk menyertai penstrukturan semula pada 11 Mei kelak.

BACA LAGI: #JomSapot BeliLokal 2.0 pikat hati juri, SMG-RHB rangkul Anugerah Perak Wan-Ifra Digital Media Awards Asia 2024

BACA LAGI: Tidak tanya semula khabar pelanggan antara 5 punca bisnes merudum lepas raya

"Kepada penjawat awam yang bercarum, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menstrukturkan semula Akaun KWSP yang akan berkuat kuasa pada 11 Mei 2024 ini.

"Untuk makluman semua, Akaun Persaraan (Akaun 1) kini dinaikkan kepada 75 peratus kerana ia sangat penting. Akaun Sejahtera (Akaun 2) dikurangkan kepada 15 peratus, mengikut keperluan manakala Akaun Fleksibel (Akaun 3) diwujudkan dengan caruman 10 peratus dan boleh digunakan jika terdesak atau kecemasan.

"Harap inisiatif murni oleh Kementerian Kewangan dan KWSP ini dapat menjaga kesejahteraan rakyat seiring dengan semangat Madani," kata JPA dalam kenyataan mereka.

Akaun Fleksibel diwujudkan oleh KWSP untuk keperluan kewangan jangka pendek ahli dana persaraan itu dan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing kekal manakala Akaun Fleksibel bermula dengan baki sifar.

“Bagi tempoh 11 Mei-31 Ogos, 2024, ahli yang berusia di bawah 55 tahun akan diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera (sebelumnya Akaun 2) sebagai jumlah permulaan Akaun Fleksibel.

“Jika ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai jumlah permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera,” kata KWSP. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram