Curiga hadap dinding seorang diri, banduan Iran disyaki dalang seludup dadah guna dron di penjara Tapah


  • 112
  • Khamis, 15 Ogos 2024

Azizi menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas daripada banduan di Penjara Tapah. — The Star

SEORANG banduan warga Iran berusia 39 tahun yang sedang menjalani hukuman penjara 30 tahun di penjara Tapah, Perak didapati memiliki dadah semasa pemeriksaan rutin dijalankan.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tangkapan itu dibuat kira-kira pukul 1.15 tengah hari selepas seorang warden menyedari kelakuan mencurigakan suspek yang dilihat duduk bersendirian menghadap dinding pada Rabu.

"Apabila pegawai itu menghampiri suspek, mereka melihat dia mengeluarkan sesuatu dari poketnya dan dia kemudiannya membaling bungkusan berwarna merah ke atas lantai.

"Apabila pegawai memeriksa bungkusan itu, dia menemui dua paket lut sinar. Satu mengandungi 46 gram serbuk kuning dipercayai heroin dan satu lagi bungkusan seberat 30 gram yang juga dipercayai dadah jenis sama,” katanya.

BACA LAGI: 'Tindakan tegas akan diambil', KP Penjara Malaysia jawab dakwaan Najib dapat layanan istimewa

BACA LAGI: [VIDEO] Ada rayuan pindah Najib dari Penjara Kajang ke rumah? — Ismail Sabri

Semakan polis mendapati suspek telah berada di penjara sejak 2018 kerana kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek mempunyai 10 kes berkaitan dadah dalam rekod jenayah lampau.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas ialah RM1,900, dan boleh digunakan seramai 50 penagih.

“Kami masih menyiasat bagaimana dadah itu dibawa masuk ke penjara dan suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes dron membawa beg berisi dadah yang ditemui di atas bumbung salah sebuah blok penjara Tapah baru-baru ini,” tambahnya.

Jelasnya, penjara telah mengetatkan operasi pencarian, pemantauan dan pemeriksaan terhadap banduan berkenaan.

"Kami akan menyiasat dari setiap sudut, termasuk taktik membawa masuk dadah menggunakan dron untuk melihat sama ada ia ada terpalit dengan kes banduan tersebut ataupun tidak," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram