PKP pencetus inspirasi 'wanita jambu' raih RM10,000 sebulan


Nurul Huda kini mengembangkan perniagaannya dengan tanaman lain termasuk ciku.

BIJAK menggunakan peluang yang ada ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika Covid-19 melanda dunia, seorang suri rumah kini mampu meraih pendapatan sehingga RM10,000 sebulan selepas mengusahakan tanaman pokok jambu selama empat tahun.

Siapa sangka, perniagaan yang dimulakan sejak tahun 2020 itu mendapat permintaan ramai terutama menerusi atas talian, sekali gus membuatkan wanita tersebut, Nurul Huda Mohd Sidek tidak menang tangan memenuhi tempahan.

Menceritakan semula detik-detik usahanya, wanita asal Terengganu itu berkata, dia tidak menyangka hasil tanamannya itu mendapat permintaan tinggi walaupun PKP.

Nurul Huda yang mengusahakan tanamannya itu di Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu, berkata, dia menggunakan media sosial seperti TikTok dan Facebook memasarkan produknya kepada pelanggan memandangkan pada waktu itu, pergerakan sangat terhad.

"Sebenarnya, perniagaan saya laku sahaja walaupun PKP, sebab semua orang berada di rumah sahaja, jadi lebih ramai berminat untuk bercucuk tanam ini dan menyebabkan order (tempahan) saya jadi banyak.

"Kini, setiap bulan anggaran lebih 300 pokok terjual," katanya kepada Majoriti sambil menambah bahawa harga anak pokok jambu bermula dengan harga RM45.

BACA LAGI: [VIDEO] Jadi pengganti Tyzo, Chiwan Chilok sedia dikecam

WhatsApp Image 2024-01-22 at 8.49.29 PM

Anaknya, Nur Hanisah melihat tanaman yang diusahakannya.

Mengulas lanjut tentang tananamnya, Nurul Huda berkata, terdapat dua jenis pokok jambu yang ditanam iaitu jambu seedless iaitu jambu yang tiada biji dan jambu lohan iaitu buahnya jenis panjang.

"Dua jenis jambu ini warnanya sama sahaja iaitu warna hijau, tetapi yang membezakannya hanya bentuk buah, satu panjang satu bulat," katanya.

Wanita berusia 28 tahun itu berkata, dia mempelajari ilmu tanaman daripada kakak iparnya, Zulaikha Kamaruddin yang juga mengusahakan tanaman dan berniaga secara atas talian.

Sentiasa menitikberatkan soal penjagaan pokok, dia mengambil langkah untuk memastikan pokok yang ditanam berada dalam keadaan baik.

"Seeloknya waktu berbunga kena balut pokok untuk elak serangga, kalau tak balut berkemungkinan isi dalam pokok itu tak cantik," katanya.

Selain itu, Nurul Huda turut berkongsi petua yang dibuat untuk memastikan tanaman sentiasa subur.

BACA LAGI: Mahu derma buah pinggang? Ketahui risiko hidup berbekalkan hanya satu organ penting

22027718-2374-4484-93b5-4f7b32d999ac

Tanaman pokok dibuat di ladang yang dinamakan Huda Kamarul Nursery.

"Saya guna racun serangga pada tanaman. Selain itu, air bawang putih saya blend, kemudian tapis dan ambil airnya sahaja untuk disiramkan pada pokok supaya tanaman kekal elok," katanya.

Dalam pelbagai jenis baja tanaman yang terdapat di negara ini, Huda memilih untuk menggunakan baja organik kerana melihat sendiri keberkesanannya kepada projek tanaman yang dibuat.

Malah dia turut menjual baja sebagai pendapatan tambahan dengan harga RM15 sepeket.

Lebih menarik, ibu kepada dua orang anak itu menggunakan anak benih jambu yang diimport dari Thailand untuk tanamannya.

"Saya beli terus memang daripada pemilik yang jual anak benih yang merupakan pokok kahwin atau hybrid," katanya.

WhatsApp Image 2024-01-22 at 8.52.02 PM (1)

Nurul Huda mulai mengembangkan projek tanamannya dengan menanam pokok lain seperti anggur.

Cekal mengurus tanaman, Huda sentiasa memastikan tanah yang subur buat tanamannya untuk membekalkan nutrien kepada pokok-pokok yang dijual.

"Saya guna tanah campuran yang dicampur sendiri. Untuk buah jambu guna tanah apa pun sesuai, guna tanah biasa pun hidup sahaja pokok," katanya.

Selepas menerima banyak tempahan, Huda mulai mengembangkan tanamannya dengan menanam pokok lain seperti pokok ciku, anggur, limau dan belimbing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram