Pastikan JBPM 'mendunia', pegawai bomba keluar duit poket sendiri tawan puncak Everest


  • 112
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

Projek pendakian gunung Everest itu dianjurkan oleh Kelab Kembara Kosmopolitan dengan kerjasama Summit Attack Resources (SAR) bagi menambah dana untuk Tabung Kebajikan Anggota Bomba.

SIAPA sangka kerjaya sebagai seorang anggota bomba mampu menawan puncak gunung di serata negara.

Perkara yang dilihat mustahil itu, dibuktikan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang gemarkan aktiviti ekstrem itu apabila bakal melaksanakan projek Pendakian Amal Bomba de Everest pada April tahun depan.

Demi mengangkat JBPM ke persada dunia, seorang Pegawai bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd. Isa, 42, sanggup menawarkan diri sebagai individu yang bakal menawan puncak tertinggi dunia tersebut.

BACA LAGI: 'Enggan disentuh lelaki', ibu 3 anak dedah pentingnya wanita jadi bomba

BACA LAGI: [VIDEO] Bomba guna 'high line technique' selamatkan remaja, kanak-kanak terperangkap atas batu sungai di Nilai

Jelasnya, projek yang sudah diilhamkan sejak beberapa tahun itu bertujuan untuk menambah dana bagi membantu anggota bomba kurang bernasib baik.

Malah, operasi strategi 'serampang tiga mata' itu menurutnya mampu mendatangkan kebaikan kepada pasukan bomba negara dari pelbagai sudut.

"Aktiviti pendakian ke puncak gunung ketinggian 8,848 meter dari aras laut ini adalah ilham saya sendiri rentetan daripada projek kayuhan solo berbasikal sejauh 2,400 kilometer serta melawat 105 balai bomba dan penyelamat di Semenanjung pada tahun 2020.

"Projek kali ini dianjurkan oleh Kelab Kembara Kosmopolitan dengan kerjasama Summit Attack Resources (SAR) bagi menambah dana untuk Tabung Kebajikan Anggota Bomba.

"Ia juga bertujuan membantu mereka yang tercedera atau terkorban sewaktu menjalankan tugas atau yang masih dalam perkhidmatan," katanya kepada Majoriti.

Gambar 1

Mohd Fakhrul bertugas di Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM

Dalam pada itu, Mohd Fakhrul atau dikenali sebagai Loe yang bertugas di Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM, Subang Jaya, Selangor itu tegas mengatakan niatnya bukan untuk mengutip derma daripada masyarakat ataupun menggunakan duit kerajaan.

Sebaliknya, Mohd Fakhrul menegaskan projek berkenaan turut bertujuan mengumpul dana hasil daripada jualan barangan kelengkapan bomba seperti alat pemadam api, baju eksklusif dan topi tahan lasak.

"Antara objektif utama jualan amal ini adalah mendidik orang ramai tentangpentingnya untuk sentiasa cakna dan bersiap siaga dengan alat pemadamapi.

"Ia bagi mengawal kebakaran agar dapat menurunkan statistik seminimum yang mungkin sama ada melibatkan kediaman, pejabat atau kenderaan.

"Sebab itu, saya anggap projek ini sebagai strategi serampang tiga mata," katanya.

Gambar 2

Mohd Fakhrul mewakili JBPM untuk menawan puncak Everest pada April tahun depan.

Menganggap ia sebagai satu cara membuktikan JBPM mampu berdaya saing dengan pasukan unit beruniform dari negara luar, puncak Everest merupakan kayu ukur kepada kejayaan sesebuah pasukan.

"Unit luar negara semua dah tawan gunung dan puncak Everest, tapi kita masih belum dan ini peluang saya nak buktikan Malaysia juga tidak kurang hebatnya.

"Saya sanggup belanjakan duit sendiri sebanyak RM300,000 untuk tawan Everest dan semua itu duit simpanan saya.

"Ini juga bukti saya bukan minta sumbangan masyarakat, tapi ia sebagai cara untuk tunjukkan betapa saya cintakan negara dan bangga menganggotai JBPM," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram