Kes Faisal Halim berbeza, polis takkan henti siasat biarpun bertahun lamanya — Penganalisis Jenayah


  • 112
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

Faisal (kanan) ketika membuat penampilan pertama di khalayak umum di Pusat Latihan Selangor FC.

KEJAYAAN polis memberkas suspek baling bom petrol di sebuah pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur (KL) pada Mei lalu meraih pujian masyarakat.

Tangkapan itu sekali gus membongkar kegiatan suspek yang juga merupakan pelaku serupa didakwa mengacu objek tajam iaitu kerambit ketika perlawanan di KLFA Football Centre baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pengesahan itu dibuat berdasarkan keterangan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan soal siasat ke atas suspek.

BACA LAGI: [VIDEO] Baru lepas keluar duit dekat bank, lelaki kena samun di lampu isyarat Klang

BACA LAGI: [VIDEO] Suspek tua samun remaja dalam lif di JB ada rekod jenayah, polis rampas 3 barang termasuk seluar jean

"Suspek dalam senarai dikehendaki dan kalau kita ingat ada kes baling molotov cocktail di hadapan sebuah pusat hiburan (ibu negara), inilah orangnya," katanya pada Khamis.

Kes itu walau bagaimanapun membawa kepada pertikaian masyarakat terhadap kes Faisal Halim yang dikatakan tiada kesudahan dan penemuan suspek sehingga ke hari ini.

Seolah-olah tiada khabar berita dan semakin dilupakan, warganet mula mempersoalkan status kes pemain Harimau Malaya itu yang sebelum ini dilaporkan cedera disimbah asid oleh suspek tidak dikenali pada 5 Mei lepas.

Tegas menolak persepsi negatif umum terhadap siasatan polis, pakar jenayah dan kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim menggesa orang ramai berhenti menyebar berita palsu dan mempertikai siasatan dijalankan.

2657034

Shahul Hamid meminta orang ramai bertenang dan tidak mencetuskan spekulasi berkaitan kes Faisal Halim.

Jelasnya, kes Faisal Halim agak berbeza dengan yang lain kerana tiada bukti ataupun saksi boleh membantu siasatan.

"Kalau kita lihat semula, kes Faisal Halim tiada bukti ataupun saksi yang boleh diguna pakai dalam siasatan, rakaman CCTV ataupun penemuan barang suspek semuanya tiada.

"Kita kena realistik, kes-kes lain mungkin boleh selesai awal namun setiap daripadanya memiliki fakta berbeza, jadi tak semudah itu polis mampu selesaikan kesemuanya serentak.

"Biar bertahun lamanya, kes Faisal Halim tak akan ditutup semudah itu, polis masih berusaha menjalankan siasatan dan orang ramai jangan khuatir atau cetuskan isu," katanya kepada Majoriti.

Menjawab persoalan warganet berkaitan kes suspek baling bom petrol di KL Mei lalu yang dikatakan mudah ditangkap, Shahul menjelaskan beberapa faktor mendorong kepada tangkapan dibuat.

"Pertamanya, video kejadian dah tular dan dikongsi merata di laman sosial, jadi ia memudahkan polis memburu suspek dan identitinya juga terdedah.

"Kedua, modus operandi pelaku juga mudah diketahui dan banyak digunakan suspek jenayah sebelum ini, maka polis juga dah sedia maklum akan kewujudan unsur khianat seperti itu.

"Dan yang paling utama adalah bantuan dan perkongsian maklumat penting daripada orang ramai sebagai saksi kejadian, itu perkara paling dikehendaki polis dalam mana-mana kes sekali pun," tambahnya.

Shahul dalam pada masa sama menasihatkan masyarakat untuk tidak mencetuskan provokasi di laman sosial dan sentiasa percaya kepada usaha siasatan dijalankan pihak polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram