'Patutnya masuk Henry Gurney atau penjara 2 tahun', ibu Damin Mikhail tak puas hati keputusan mahkamah


  • Massa
  • Rabu, 25 Okt 2023

Muhammad Damin Mikhail Kansol sebelum ini ditemui rentung di dalam sebuah tandas awam di Puncak Alam, Sungai Buloh pada 28 Ogos 2022. — Ihsan bomba

MAHKAMAH Majistret Kuala Selangor, Selangor pada Rabu menjatuhkan hukuman melakukan kerja khidmat masyarakat dengan mencuci tandas selama 100 jam dalam tempoh enam bulan kepada dua remaja lelaki yang didakwa melakukan kesalahan khianat terhadap sebuah bangunan dengan api tahun lalu.

Kejadian itu yang turut mengorbankan nyawa seorang remaja lelaki, Muhammad Damin Mikhail Kansol menerima pelbagai spekulasi dan pertikaian dalam kalangan masyarakat khususnya pihak keluarga mangsa.

Namun, keputusan mahkamah dibuat terhadap kedua-dua suspek berkenaan mendapat tentangan dan pertikaian dari ibu mangsa, Hizanawati Abu Bakar, 49, yang menganggap ia tidak adil dan berat sebelah.

Dakwanya, remaja terbabit sepatutnya dikenakan hukuman penjara ataupun dimasukkan ke sekolah Henry Gurney atas kesalahan dilakukan.

"Sepatutnya mereka sekurang-kurangnya perlu dipenjarakan ataupun masuk ke sekolah Henry Gurney, biar ibu bapa dia rasa hilang anak macam mana, hukuman cuci tandas terlalu ringan dan tidak adil.

"Tak setimpal dengan kematian anak saya, pihak kami memang ralat dan kurang puas hati dengan perintah mahkamah pada hari ini (Rabu).

"Kalau mereka di tempat saya, mesti tak boleh terima juga hukuman macam ini sebab terlampau ringan sedangkan saya hilang anak, bukannya isu remeh," dakwanya kepada Majoriti.

DAMIEN

Hizanawati masih tidak dapat melupakan peristiwa hitam yang mengorbankan nyawa anak lelakinya.

Lebih memilukan ibu kepada enam orang anak itu mendakwa, pihak keluarga tertuduh juga tidak tampil dengan sebarang permohonan maaf ataupun bersemuka dengannya selepas daripada keputusan mahkamah tersebut.

Meskipun kehilangan anak, keluarga tertuduh dikatakan tidak mahu mengalah dan terus bercerita buruk tentang kematian anaknya.

"Bila di mahkamah, mereka langsung tak mahu berjumpa dan mengelak daripada bertemu saya, seolah-olah berpuas hati dengan keputusan hakim.

"Walhal, kematian anak saya juga turut dipertikaikan sehingga ke hari ini apabila mereka masih bercerita buruk dan menganggap ia kesalahan saya kerana cuai tidak menjaga anak dengan baik," dakwanya.

Untuk rekod, pada 28 Ogos tahun lalu, niat dua remaja bergurau ketika bermain api di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3, Selangor membawa padah apabila tindakan itu meragut nyawa rakan mereka.

Mangsa yang berusia 16 tahun ditemukan rentung selepas kebakaran tandas terbiar itu dipadamkan pihak bomba. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram