Pemain bola amatur acu kerambit rupanya suspek sama baling bom petrol di kelab malam


  • 112
  • Khamis, 15 Ogos 2024

Suspek berada dalam senarai dikehendaki selepas terlibat dalam beberapa kes jenayah sebelum ini.

PEMAIN bola sepak amatur yang mengacukan objek tajam ketika perlawanan di KLFA Football Centre baru-baru ini, disahkan sebagai suspek kejadian membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur (KL) pada Mei lalu.

Ketua Polis KL, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pengesahan itu dibuat berdasarkan keterangan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan soal siasat ke atas suspek.

"Suspek dalam senarai dikehendaki dan kalau kita ingat ada kes baling molotov cocktail di hadapan sebuah pusat hiburan (ibu negara), inilah orangnya.

"Suspek juga ada rekod jenayah lampau sebelum ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Putrajaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Khamis.

BACA LAGI: ‘I love you Am, bahagialah di syurga firdausi’, adik rayu henti kongsi gambar arwah Nidza Afham

BACA LAGI: 'Masa laung azan, saya doa dia masih selamat', bapa reda pemergian Nidza Afham

71715289504_Pusathiburandibali

Sebuah video tular sebelum ini memaparkan sekumpulan individu membaling bom petrol ke arah kelab malam.

Sebelum ini, tular video CCTV di laman media sosial yang memaparkan empat individu menaiki dua motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, 9 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, bagi kes mengacukan objek tajam, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 serta pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan membahayakan nyawa dan keselamatan diri orang lain.

Dalam kejadian 4 Ogos lalu, lelaki tersebut mengacukan kerambit ke arah pemain lain dalam perselisihan faham ketika perlawanan bola sepak di KLFA Football Centre.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim dilapor berkata, lelaki tersebut ditahan bersama teman wanitanya berusia 21 tahun oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sebuah rumah di Klang kira-kira pukul 6.30 petang, Jumaat lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram