Video kawad ajar disiplin, UPNM trending lagi di Twitter


  • Tular
  • Jumaat, 05 Nov 2021

TANGKAP layar video menunjukkan sebahagian penuntut UPNM sedang menjalani latihan kawad yang dikongsi di Twitter.

RUMAH sudah siap, pahat masih berbunyi. Itu bidalan yang sesuai bagi menggambarkan kes arwah Zulfarhan Osman Zulkurnain, Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang meninggal dunia akibat kecederaan kesan 90 tekapan seterika wap pada 2017.

Mahkamah Tinggi pada Selasa mendapati enam tertuduh bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan bersubahat membunuh, manakala 12 yang lain pula didapati bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan arwah.

Keputusan itu diubah daripada pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selepas peguam bela membuktikan kesemua tertuduh tiada niat membunuh.

Bukan sahaja keluarga arwah Zulfarhan, majoriti warganet turut meluahkan rasa kesal dengan keputusan tersebut sehingga tanda pagar #UPNM menjadi trending di Twitter selama dua hari berturut-turut.

Belum pun reda kisah tersebut, timbul kisah lain selepas tanda pagar #UPNM sekali lagi trending pada Jumaat gara-gara perdebatan dalam kalangan netizen yang menyifatkan imej universiti itu sudah tercalar di sebalik reputasi baiknya mengeluarkan graduan berdisiplin sebelum ini.

'Perbalahan' di alam maya itu dipercayai tercetus susulan ciapan pengguna Twitter @sekacakAnwar berbunyi: "Mana yang kata UPNM ajar jadi pembunuh tu? Nah tengok ni, siap ajar jadi disiplin dan kekemasan lagi. Haihhh netizen, sudah-sudah la hentam #UPNM'.

Menerusi ciapan itu, dia turut berkongsi video menunjukkan sebahagian penuntut institusi pendidikan berkenaan sedang menjalani latihan kawad yang sinonim dengan asas pembentukan disiplin tinggi.

Video tersebut ditonton sebanyak 243,000 kali setakat ini sejak dimuat naik pada Rabu, sehari selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun kepada enam pelaku kes arwah Zulfarhan.

komen upnm

TANGKAP layar sebahagian komen netizen terhadap video kawad pelajar UPNM tersebut.

Seorang netizen @fayixatiq berkata, rata-rata netizen bukan menghentam UPNM sebaliknya mengecam budaya buli dan 'ragging' yang diamalkan serta dianggap normal oleh penuntut universiti tersebut.

"Kami bersedih hati. Dengan menunjukkan video (kawad) ini tidak dapat mengenepikan fakta bahawa terdapat satu kes kematian di UPNM akibat pembulian.

"Zulfarhan dibunuh di sini. Tolonglah tunjukkan sedikit empati," tulisnya pada Jumaat.

Kekecewaan sama dizahirkan @darshinidevi19 dengan menulis," Kegagalan menyelesaikan masalah, memperlihatkan budaya 'ragging' sebagai satu perkara normal dan tidak berbuat apa-apa tindakan (merujuk kepada bekas pelajar UPNM), seolah-olah menunjukkan tahap kecuaian universiti.

Seorang lagi pengguna Twitter, @rectumradio berkata, mempersalahkan UPNM memang tidak boleh memperbetulkan keadaan, namun ia boleh menjadi wake-up call untuk melakukan perubahan.

Sementara itu, tinjauan Majoriti mendapati pada masa sama, tanda pagar UPNM turut trending ekoran satu kempen di laman sosial 'I am from UPNM & Proud to be UPNM' yang dikatakan tidak sensitif terhadap nasib arwah Zulfarhan yang dikatakan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

"Baik buat kempen 'I am from UPNM and I stand with Zulfarhan'. Nak banggakan apa bodoh," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram