PERNAH berdepan serangan hendap pengganas komunis satu ketika dahulu, kini seorang bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengubah haluan hidupnya apabila menjadikan kediamannya sebagai replika binaan bersejarah di Kampung Permatang, Klebang, Melaka.
Saron Jalil, 65, yang merupakan bekas pasukan meriam ATM, kini lebih dikenali di kalangan penduduk kampungnya susulan bentuk rumahnya yang agak unik dan kerap menerima kunjungan ramai pelancong di kawasan tersebut.
Jelasnya, kerjaya sebagai seorang anggota tentera telah banyak mengajarnya erti pengorbanan dan pejuang negara yang terkorban di medan perang sentiasa tersemat dalam ingatannya meskipun sudah bersara.
BACA LAGI: Bekas polis imbau semula zaman Cheras dianggap 'black area' ketika 1980-an
BACA LAGI: Pernah disiasat RCI, PDRM banyak kelemahan dari segi integriti, rasuah pada 2003 — Musa Hassan
Mengambil konsep pendekar Hang Tuah di bumi Melaka, Saron mula menghasilkan replika berkenaan selepas mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian Melaka pada 2010.
"Saya ambil konsep cerita Hang Tuah, misalnya replika Taming Sari di simpang laluan rumah saya memang dijadikan simbolik kepada kisah pahlawan Melaka.
"Pintu gerbang rumah saya secara tidak langsung jadi monumen ingatan ataupun identiti kepada penduduk Kampung Permatang sebab di sini memang tiada sebarang papan tanda.
"Pada mulanya memang saya bercadang untuk menambah baik Kampung Permatang sebab orang hanya tahu nama tetapi tak tahu jalan, pintu gerbang saya sekarang jadi identiti dan memang saya sangat berpuas hati bila ramai yang memujinya," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, beberapa ruang dalaman kediamannya turut dibina berkonsepkan sejarah antaranya di bilik tidur, katil dan meja solek yang dibentuk menggunakan simen fero.
Kediaman Saron Jalil menjadi identiti bagi Kampung Permatang, Klebang, Melaka.
Saron berkata, disebabkan minat yang mendalam, kini reka cipta simen feronya mula dikenali bukan saja dalam kalangan penduduk, malah orang luar.
"Saya dapat reaksi positif daripada penduduk dan masyarakat yang memuji kreativiti saya menghasilkan replika bersejarah di kawasan rumah.
"Saya keluarkan modal sendiri untuk bina replika keris di pintu masuk kampung, binaan landskap di jalan berhampiran surau, tadika dan juga rumah anak. Biar Kampung Permata dikenali ramai dan saya lebih semangat untuk terus menghasilkan keunikan di sini," katanya.
Turut berkongsi pengalamannya ketika menganggotai ATM, Saron merupakan individu bertanggungjawab melepaskan tembakan meriam ketika serangan komunis sekitar 1980-an.
"Saya masih ingat lagi situasi diserang hendap pengganas komunis satu ketika dahulu, kami diarahkan melepaskan tembakan rambang di beberapa lokasi bertujuan untuk menggertak musuh.
"Memang tugas saya untuk lepaskan tembakan meriam, kalau takda arahan pun kami akan lepaskan tembakan untuk kacau komunis, biar mereka gentar dengan kedatangan tentera kita.
"Pasukan meriam sentiasa dalam keadaan bersedia untuk memberikan bantuan kepada anggota tentera dari pasukan lain, kalau tiada arahan tembakan, maka pertolongan akan diberikan kepada renjer askar Melayu," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram