MENJELANG perlawanan akhir Piala FA 2024/2025 antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC pada Sabtu nanti, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan seramai 2,488 anggota termasuk unit dron di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Ia bertujuan bagi mengawal keselamatan dan kawalan di dalam mahupun luar stadium ekoran kes provokasi dan pergaduhan kerap berlaku dalam perlawanan Liga Malaysia (Liga M) kebelakangan ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menjelaskan, pemeriksaan ketat akan dilakukan kepada penonton sebelum dibenar masuk ke stadium.
BACA LAGI: Bekas pemain JDT mahu final Piala FA jadi landasan erat hubungan baik penyokong
BACA LAGI: Final Piala FA: Legenda harap kedua-dua fans berbaik, tak perlu sambung lawan luar padang
“Polis daripada pelbagai unit termasuk dron, Jabatan Sukarelawan (RELA) dan bomba akan dikerah mengawal situasi perlawanan itu nanti.
“Kawalan di dalam tren LRT turut diperketatkan dengan seramai 77 anggota PDRM ditugaskan berada dalam gerabak sehingga tamat perlawanan terutamanya ketika penonton mula bergerak pulang.
“Kebiasaannya akan ada provokasi pada pasukan yang tewas dan kita akan cuba sehabis baik elakkan ia daripada berlaku,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu.
Rusdi Mohd Isa menunjukkan beberapa laluan akan ditutup dan dilencongkan bagi mengelak trafik sesak di Stadium Bukit Jalil.
Dalam pada itu, sebanyak tujuh jalan akan ditutup dan dilencongkan ke laluan lain bagi mengelakkan trafik sesak berlaku.
Jelasnya, sebanyak 4,968 ruang parkir tersedia di stadium dan jika penuh, beberapa laluan akan dilencongkan seawal pukul 8 pagi.
“Pihak polis akan buat beberapa penutupan jalan serta lencongan jika parkir penuh, maka sebaiknya penonton dinasihati gunakan pengangkutan perkhidmatan awam.
“Laluan sesak dijangkakan berlaku dengan jumlah kehadiran kita sasarkan penonton di stadium nanti adalah sebanyak 85,000 orang,” ujarnya.
Berikut lencongan laluan yang akan dibuat pada hari perlawanan:
1. Penutupan susur Lebuhraya Kesas ke lampu isyarat Sukom, lencong ke Awan Kecil/ Awan Besar.
2. Penutupan Jalan Lampu Isyarat Sukom ke arah Jalan Merah Cagar, lemcong ke Awan Kecil/Awan Besar.
3. Penutupan susur ke Japan Barat dari Lebuhraya Kesas, lencong ke Jalan Radin/ Sri Petaling.
4. Penutupan susur ke Jalan Barat dari Jalan Radin, lencong ke Shah Alam
5. Penutupan susur ke Jalan Barat dari Kesas, lencong ke Japan Radin/ Sri Petaling.
6. Puchong Link - Penutupan susur ke Jalan Barat dari arah Bulatan Lumba Kuda lencong ke Kinrara.
7. Penutupan susur Puchong Link ke Jalan Barat dari arah Kinrara, lencong ke Bulatan Kuda.
Polis dalam pada masa sama menasihatkan orang ramai untuk tidak mencetuskan sebarang provokasi ketika perlawanan berlangsung atau tindakan tegas dikenakan kepada pelaku.
“Dengan penambahan anggota pada perlawanan kali ini, jangan ada yang berani timbulkan isu.
“Pasti ada yang menang dan akan kalah, maka jangan sesekali terlintas timbulkan masalah ataupun kekecohan apatah lagi rusuhan,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram