DEK kerana kehilangan ibu bapa sejak kecil, siapa sangka seorang bekas pegawai jurutera Tentera Darat Malaysia (TDM) tampil dengan idea menubuhkan Wisma Veteran di Kuala Lumpur bagi membela nasib pesara tentera yang dalam kesusahan.
Menganggap ia sebagai satu pekerjaan mulia dan salah satu nikmat yang tiada gantinya, Mejar Harun Rashid, 53, pada mulanya berniat untuk membantu veteran tentera yang dalam kesusahan meneruskan kehidupan di samping penjagaan rapi diberikan.
Namun, tanpa diduga kedua-dua faktor itu merungkai kepada penubuhan sebuah tempat perlindungan buat insan kurang bernasib baik sekali gus mengisi kekosongan hatinya yang hilang tempat mengadu sejak bertahun-tahun.
BACA LAGI: Pastikan JBPM 'mendunia', pegawai bomba keluar duit poket sendiri tawan puncak Everest
BACA LAGI: Kebajikan terjaga, veteran TLDM mohon kerajaan pertimbang pelarasan pencen tentera
"Saya dan isteri pernah terfikir nak ambil ibu bapa angkat sebab kami masing-masing kehilangan mak ayah bertahun lamanya. Jadi tempat untuk berbakti itu dah tiada.
"Dalam pada masa sama, saya terlihat beberapa pesara ataupun veteran tentera yang tiada tempat tinggal selepas tamat perkhidmatan.
"Ada yang hidup sebatang kara dan ada juga yang tidak dijaga sebab anak-anak sibuk bekerja siang hari, maka saya tercetus ilham untuk membina Wisma Veteran sebagai pusat perlindungan mereka yang memerlukan.
"Secara tak langsung memenuhi hajat kami untuk berbakti kepada orang tua walaupun mereka bukan ibu bapa kami, tetapi saya yakin pahalanya melimpah luah," katanya kepada Majoriti.
Wisma Veteran mula ditubuhkan sejak 2012.
Dalam pada itu, Harun turut menjelaskan niat asal di sebalik penubuhan wisma terbabit.
Katanya, sejak kehilangan ibu bapa, dia dan isterinya tidak berpeluang untuk menunjukkan contoh dan teladan baik kepada anak-anaknya supaya berbakti kepada orang tua.
Menganggap ia sebagai salah satu cara mempamerkan akhlak serta budi pekerti terhadap golongan warga emas, Harun berharap tindakannya mampu menjadi ikutan ketujuh-tujuh anaknya di masa depan kelak.
"Kami tiada tempat nak tunjukkan contoh untuk anak-anak ikut apabila dewasa nanti, jadi dengan cara penubuhan wisma ini harapnya mampu membuka mata mereka betapa mulianya menjaga orang tua.
"Kami suami isteri jalankan wisma ini tanpa sumbangan dari mana-mana pihak, semua kos diperoleh hasil daripada bayaran bulanan penghuni di sini.
"Tidak mengharapkan balasan, saya rasa bahagia bila dapat tolong veteran tentera khususnya yang dalam kesusahan, di sini segala kelengkapan disediakan dan kesihatan mereka juga terjaga kerana petugas kami mahir dalam hal-hal kejururawatan," ujarnya.
Penghuni di Wisma Veteran sentiasa dijaga rapi dan dilengkapi katil setiap seorang.
Ketika disoal berkaitan isu kesihatan penghuni di wisma berkenaan, Harun menjelaskan ada di antaranya semakin beransur pulih selepas menetap di situ.
Katanya, penghuni di wisma miliknya rata-ratanya memiliki rekod kesihatan kurang baik, namun atas penjagaan rapi dan tumpuan 24 jam diberikan, mereka boleh beransur pulih sama seperti di hospital.
"Petugas kami semuanya diberikan ilmu penjagaan hospital kerana pernah ada bekas jururawat yang berkhidmat di wisma ini sebelum ini, maka soal penjagaan pesakit tidak jadi masalah.
"Cuci lampin, rawat luka dan beri makan minum melalui tiub hidung semuanya kami lakukan dengan cermat, sama seperti di hospital bahkan lebih selesa di sini.
"Seorang penghuni sini pernah kami terima dalam keadaan luka yang agak teruk, tapi lepas penjagaan dan lukanya dicuci rapi setiap hari, alhamdulillah dia makin pulih," katanya.
Turut terbuka untuk menerima penghuni daripada golongan bukan veteran, bekas tentera yang pernah berkhidmat selama 25 tahun itu sentiasa mengalu-alukan golongan memerlukan di wisma miliknya.
Setakat ini, lebih 21 orang penghuni sudah diterimanya dan kemasukan masih dibuka kerana kediaman itu dikatakan mampu memuatkan lebih 30 individu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram