Cap jari suspek hanya 24 jam di tubuh mangsa jenayah — Pakar patologi forensik


  • 112
  • Selasa, 20 Ogos 2024

Pakar patologi forensik menjelaskan cap jari suspek lazimnya hanya bertahan 24 jam di tubuh mangsa jenayah — Gambar hiasan/Agensi

NEGARA digemparkan dengan beberapa kes kematian membabitkan orang hilang kebelakangan ini.

Lebih parah apabila kebanyakan daripadanya terpalit dengan kes jenayah berpunca akibat pembunuhan dan keganasan yang nyata sukar diterima pihak keluarga terkorban.

Terbaharu, mayat Allahyarham Cikgu Istiqomah yang dibunuh kejam pada Disember tahun lalu, sudah diserahkan kepada keluarganya dalam keadaan baik.

BACA LAGI: Keluarga Cikgu Istiqomah dibenar tuntut mayat Isnin, hari sama suspek utama dijangka dituduh di mahkamah

BACA LAGI: Isteri bebas, suspek kes bunuh Cikgu Istiqomah dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Isnin

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, ketika proses serahan yang turut disertai suami Allahyarham, Mohd Yusof Mokhtar, pihak Hospital Melaka memberi penerangan mengenai keadaan jenazah.

"Seperti mana yang semua tahu, ada bahagian anggota badan belum ditemui lagi di mana bahagian badan yang kita temui pada peringkat awal dan peringkat kedua sudah diserahkan kepada keluarga.

"Jadi, jenazah bukanlah sempurna dan keluarga dapat terima apa yang diterangkan oleh doktor. Selepas siap dimandikan jenazah akan dikafankan sebelum dibawa balik ke Kelantan," katanya.

2866408

Mayat Cikgu Istiqomah yang ditemui dalam tong sampah penghujung Disember lalu.

Dalam pada itu, tanggapan masyarakat terhadap kes terbabit mula mempertikaikan siasatan dijalankan pihak polis yang didakwa gagal mengesan suspek lebih awal.

Orang ramai beranggapan, kesan cap jari sepatutnya menjadi bukti utama kepada penemuan suspek kes jenayah.

Namun, perkara itu disangkal pakar patologi forensik, Datuk Dr Zahari Noor yang menjelaskan bahawa tempoh cap jari pada mayat hanya boleh diguna pakai selama 24 jam saja.

"Proses pengecaman mayat ataupun suspek jenayah hanya boleh dikenal pasti melalui cap jari jika ia belum melebihi tempoh 24 jam.

"Kalau mayat dah terlampau lama, maka cap jari tak dapat nak dikesan, kalau ada pun ia sangat susah diteliti unit forensik sebab faktor cuaca ataupun permukaan basah menyukarkan proses siasatan.

"Siasatan forensik bukan bergantung pada cap jari semata-mata, banyak lagi prosedur dan teknik dijalankan pihak forensik yang semakin canggih sekarang," katanya kepada Majoriti.

6203989330775622082

Pakar patologi forensik, Datuk Dr Zahari Noor

Tambahnya, garis panduan tetap bagi proses siasatan forensik khususnya melibatkan kes bunuh akan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh dalam memastikan tiada satu pun bahan bukti yang tertinggal.

"Ujian asid deoksiribonukleik (DNA), gigi dan tulang mayat antara alternatif lain boleh digunakan unit forensik mengenal pasti mayat.

"Kadang kala modus operandi suspek juga memainkan peranan, suspek mungkin cuba tunjuk macam mangsa bunuh diri atau lemas, tetapi sebenarnya dibunuh maka cap jari susah dikesan sebab mayat dalam keadaan basah.

"Jadi kesan luka ataupun cedera daripada gigi mayat sekali pun akan diguna pakai dalam unit forensik, suspek tak akan terlepas kalau betul ia kes pembunuhan," katanya.

Untuk rekod, mayat Allahyarham Cikgu Istiqomah ditemui tanpa kepala, kaki dan tangan yang disumbat dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang di Alor Gajah, Melaka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram