Terlepas tembakan shotgun ketika bertugas, pengawal keselamatan ditahan polis di Alor Gajah


  • 112
  • Jumaat, 09 Ogos 2024

Seorang pengawal keselamatan dipercayai terlepas tembakan ketika bertugas di Hospital Alor Gajah, Melaka pada Khamis. — Gambar hiasan

AKIBAT kunci keselamatan shotgun yang tidak dipasang, seorang pengawal keselamatan ditahan polis selepas dipercayai terlepas tembakan dalam kejadian di pejabat unit hasil Hospital Alor Gajah (HAG), Melaka pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pukul 6.20 petang Khamis daripada pegawai operasi syarikat keselamatan berkenaan.

Ashari berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kejadian itu.

BACA LAGI: 'Anak sampai lap pisang goreng buang minyak', pakar nutrisi UPM puas hati didik keluarga amal pemakanan sihat sejak kecil

BACA LAGI: 'Kalau bukan saya siapa lagi', graduan UiTM buang sifat pemalu cipta kejayaan di Selangor, mahu tubuh NGO demi anak muda Kelantan

Beliau berkata, pegawai operasi berkenaan diberitahu bahawa senjata api digunakan seorang daripada pengawal keselamatan di lokasi itu terjatuh sebelum meletup sebanyak sekali dan tembakan terkena meja kaunter.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika suspek bertugas pada pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam. Dia seorang diri di dalam pejabat dan tiada pekerja lain ketika itu.

"Suspek duduk di kerusi pengawal keselamatan di bahagian dalam pejabat, manakala senjata api yang dibekalkan oleh syarikatnya jenis shotgun Winchester diletakkan di atas meja hadapannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, suspek meletakkan senjata api berkenaan dalam keadaan laras menghala ke arah kaunter pejabat dan kunci keselamatan tidak dipasang.

Tambahnya, paha kanan suspek terkena bahagian ‘bontot’ senapang lalu jatuh terhentak ke lantai dan meletup serta melepaskan sedas tembakan yang mempunyai peluru jenis 12 Bore ke arah meja kaunter pejabat di bahagian bawah ketika mahu bangun.

"Pegawai operasi itu membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah selepas mendapati suspek melakukan kecuaian dalam mengendalikan senjata api.

"Polis juga akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Jumaat," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram