PEMERGIAN bapa tercinta nyata meninggalkan impak mendalam buat Roz Ariffin Rozaid, 33.
Apatah lagi kepulangan bapanya yang merupakan wartawan veteran tanah air, Rozaid Abdul Rahman pada usia 59 tahun, ke negeri abadi itu dianggap sebagai sangat 'tiba-tiba'.
Allahyarham Rozaid, yang juga Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) meninggal dunia di rumahnya akibat serangan jantung, kira-kira pukul 7 petang Ahad.
BACA LAGI: Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO, Rozaid Rahman meninggal dunia pada usia 59 tahun
BACA LAGI: Jenazah Rozaid Rahman selamat dikebumikan di Putrajaya
Jenazah Rozaid selamat dikebumikan di Perkuburan Presint 20, Putrajaya pukul 10.50 pagi Isnin.
Allahyarham sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan sudah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Berkongsi kepada Majoriti, anak sulung kepada Allahyarham memberitahu bahawa keadaan kesihatan bapanya semakin baik selepas dibenarkan pulang dari hospital dua minggu lalu.
Malah, beliau sepatutnya dijadualkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor pada Isnin.
"Memang tak sangka, saya sepatutnya bawa bapa jumpa doktor hari ini (Isnin) dan memang saya sudah bersiap sedia.
"Doktor pun sebelum ini cadang bapa pulang dahulu untuk berehat, sebelum melakukan imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) pada penghujung Ogos," katanya sambil memberitahu adik-adiknya masih berada dalam keadaan terkejut dengan berita pemergian itu.
Masalah penglihatan
Bercerita lanjut, Roz Ariffin berkata, beberapa hari selepas keluar hospital, Allahyarham ada memaklumkan tentang masalah penglihatan yang dialaminya.
Keadaan itu menyukarkan bapanya untuk melihat skrin sama ada di telefon pintar mahupun di televisyen dengan jelas.
Allahyarham turut meminta agar surat khabar The New York Times dihantar kepadanya setiap hari, termasuk ketika berada di hospital.
Justeru, Rozaid menyatakan hasrat agar anak lelakinya itu membelikannya cermin mata hitam bagi mengurangkan silau ketika melihat skrin.
"Bapa ada suruh beli cermin mata hitam sebab tak tahan silau di skrin. Alhamdulillah saya sempat membelinya (cermin mata) di kedai sekitar Putra Heights.
"Selama dua hari juga dia tidak boleh buka telefon pintar atau menonton televisyen, sampaikan kena pasang radio di saluran Astro kerana skrinnya hanya memaparkan visual berwarna gelap.
"Kiranya melalui radio tersebut, bapa boleh tahu perkembangan berita terkini.
"Pihak hospital maklumkan mereka akan buat pemeriksaan mata hari ini (Isnin), tapi tidak sangka pula bapa pergi dahulu," ujarnya sambil menahan sebak.
Roz Ariffin menambah, Allahyarham Rozaid sangat gemar membaca surat khabar The New York Times.
Kongsinya lagi, surat khabar itu menjadi antara inspirasi untuk Allahyarham membina nama sebagai seorang wartawan.
Roz Ariffin (tiga kanan) ketika menunaikan solat jenazah buat arwah bapanya.
Malah, bapanya juga turut meminta agar surat khabar berkenaan dihantar kepadanya setiap hari, termasuk ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah baru-baru ini.
"Dia minat sangat dengan sejarah, boleh dikatakan bapa saya memang pengikut setia The New York Times," ujarnya.
Meninggalkan seorang balu, Norliza Radzi, 56, dan tujuh anak masing-masing berusia 17 hingga 33 tahun, Allahyarham sempat menitipkan pesan kepada Roz Ariffin agar menjaga adik-adik dan seluruh ahli keluarga sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Arwah suruh jaga adik-adik dengan baik. Jaga keluarga dan pastikan semua dijaga dengan baik," ungkapnya.
Jenazah Rozaid selamat dikebumikan di Perkuburan Presint 20, Putrajaya pukul 10.50 pagi Isnin.
Rozaid berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 40 tahun selepas memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.
Beliau yang sebelum ini turut memegang jawatan Pengarang Perundingan Kumpulan Media The Star memulakan kerjaya di Utusan Malaysia sebagai pemberita kadet pada April 1984 sebelum dilantik sebagai Ketua Pemberita Kumpulan Utusan pada 1992 dan dua tahun kemudiannya dilantik menjadi Pengarang Berita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram