Kebajikan terjaga, veteran TLDM mohon kerajaan pertimbang pelarasan pencen tentera


  • 112
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Mohd Puad pernah berkhidmat selama 35 tahun sebagai anggota TLDM.

BARISAN pertahanan negara sentiasa bersedia berdepan cabaran mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara daripada sebarang ancaman musuh.

Berjuang tanpa mengira waktu dan tempat, pengorbanan perwira satu ketika dahulu wajar diangkat serta dihargai generasi kini yang 'mewah' dengan keharmonian dan keamanan negara.

Berkongsi pendapat berhubung hal itu, bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd Puad Omar, 58, menganggap jasa dan keringat anggota pertahanan sentiasa dibalas baik pihak kerajaan dan persatuan yang tidak pernah mengabaikan mereka.

BACA LAGI: Ramai anak muda berebut nak jadi pengawal keselamatan, dipandang tinggi — Presiden MUSGA

BACA LAGI: Pernah diserang hendap komunis, bekas anggota ATM bina replika rumah serlah identiti Kampung Permatang

Jelasnya, tanggungjawab diberikan kepada seorang tentera tiada gantinya namun, segala kelebihan serta bantuan diberikan kepada bekas ataupun veteran tentera seolah-olah tiada penghujungnya.

"Semasa bertugas di bawah tentera memang agak sukar kerana kita sentiasa berdepan risiko kematian, tetapi bila dah bersara, semua itu tidak dilupakan dan kerajaan sentiasa ada bersama kami.

"Bekas tentera memang dihargai, kebajikan kami terurus dan dana daripada pihak persatuan veteran akan sentiasa disalurkan kepada individu yang kesakitan ataupun kesusahan.

"Jadi boleh kata anak-anak muda yang nak jadi tentera memang saya galakkan kerana ia menjamin masa depan, cuma niat itu perlu ikhlas demi berkhidmat kepada negara," katanya kepada Majoriti.

6186214608621126992

Mohd Puad ketika sambutan ulang tahun TLDM pada 2017.

Dalam pada itu, Puad turut memberikan cadangan yang boleh ditambah baik kerajaan jika ingin terus menarik minat serta menjaga kebajikan tentera.

Katanya, kerajaan dimohon untuk mempertimbangkan pelarasan gaji bekas tentera yang dikatakan kini kurang stabil dan terhenti sejak 2003.

"Pelarasan gaji pencen saya kira perlu diselaraskan mengikut pangkat dan jawatan ketika perkhidmatan selama mana seseorang itu berkhidmat.

"Ia terhenti sejak 2003, jadi dengan situasi ekonomi tidak menentu sekarang, sebaiknya ia ditambah baik ataupun sekurang-kurangnya ada tindakan daripada kerajaan bermula dari sekarang.

"Kami sebagai warga veteran dan bekas pasukan tentera, sentiasa menghargai usaha kerajaan melindungi kebajikan kami, cuma isu pelarasan gaji pencen sewajarnya diselesaikan segera," katanya.

Terdahulu, The Star melaporkan kerajaan Persekutuan komited menjaga kebajikan veteran tentera dengan meningkatkan bantuan daripada RM118 juta kepada RM244 juta pada 2024.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sehingga 10 Julai, seramai 29,331 veteran telah menerima faedah tersebut melibatkan bayaran berjumlah sebanyak RM56 juta.

"Kementerian akan memastikan peruntukan ini dibelanjakan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan digunakan sepenuhnya oleh veteran yang berdaftar melalui VIBES (Sistem Faedah Bersepadu Veteran)," katanya pada Selasa.

Beliau pada masa sama menasihatkan veteran untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat peribadi mereka melalui JHEV atau persatuan di kawasan masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram