'Polis gempur, TNB potong', 985 mesin bitcoin haram bernilai RM1.97 juta dirampas sejak 2022


  • 112
  • Selasa, 20 Ogos 2024

Seorang pekerja TNB memeriksa sebuah premis yang dijadikan tempat melombong bitcoin. — The Star

KEGIATAN perlombongan mata wang kripto haram ataupun 'bitcoin' semakin menular dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Mata wang kripto yang dikatakan tidak dikawal mana-mana entiti seperti pusat bank atau kerajaan itu, membolehkan individu memiliki kuasa terhadap penggunaan wang mereka.

Malah, transaksi menggunakan mata wang itu difahamkan lebih pantas dan boleh dilakukan secara segera, berbeza dengan bank konvensional yang mungkin mengambil masa berhari-hari untuk pemprosesan.

BACA LAGI: Selangor paling banyak lombong haram 'bitcoin'

BACA LAGI: Pengusaha bitcoin terlibat rasuah bernilai billion ringgit dalam radar SPRM

Namun, kegiatan itu memerlukan sumber tenaga elektrik berterusan bagi menghidupkan operasi transaksi mata wang yang sekali gus menjerumus ke arah perlakuan jenayah.

Pelaku kebiasaannya mengambil jalan mudah dengan mencuri bekalan elektrik dari pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi mengekalkan operasi perlombongan itu berterusan tanpa henti setiap masa.

Mendatangkan kerugian besar kepada negara, kecurian tenaga melalui aktiviti perlombongan bitcoin yang semakin berleluasa itu sudah mengakibatkan kerugian lebih RM3.4 bilion dalam tempoh lima tahun sejak 2018.

WhatsApp-Image-2022-09-23-at-1.01.27-PM-e1663913632151

Kegiatan perlombongan kripto haram sering dijalankan di bahagian belakang bangunan. — Gambar hiasan

Pada Januari 2022, bekas Ketua Polis Perak, Datuk Mior Wahid Faridalathrash mendedahkan bahawa, operasi perlombongan itu boleh dikenal pasti melalui kipas ekzos yang dipasang pada bahagian belakang bangunan.

Jelasnya menurut laporan The Star, ia merupakan sebahagian daripada sistem penyejukan untuk mesin perlombongan yang biasanya dijalankan di kawasan berpenduduk padat atau berhampiran zon perindustrian bagi menyembunyikan aktiviti mereka.

"Jika mereka beroperasi di kawasan yang tidak mempunyai banyak aktiviti, ia akan memberi amaran kepada TNB kerana pihak berkenaan mampu mengesan operasi sebegitu sekiranya terdapat penggunaan elektrik yang tinggi secara luar biasa.

"Kami bekerjasama rapat dengan TNB untuk menyekat operasi yang mencuri elektrik dan mengganggu pengguna lain," katanya.

Terbaharu, jalinan kerjasama itu mula menampakkan hasil apabila sebanyak 985 mesin peralatan perlombongan bitcoin bernilai RM1.97 juta dirampas di sekitar Parit, Perak Tengah, Perak.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, kesemua mesin dan peralatan itu membabitkan kes rampasan antara 2022 hingga April 2024.

BITCOIN-2

Hafezul Helmi menunjukkan barang kes perlombongan bitcoin untuk dilupuskan di IPD Perak Tengah.

Jelasnya, pelupusan tersebut dibuat bagi barang-barang kes yang telah mendapat kelulusan daripada Timbalan Pendakwa Raya setelah selesai prosiding di mahkamah.

"Semua mesin dan peralatan ini adalah hasil daripada 12 kes dan serbuan yang dijalankan di lot-lot kedai di sekitar Seri Iskandar, Perak sejak 2022 hingga April lalu.

"Seramai dua lelaki warga tempatan ditangkap dalam serbuan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan menyebabkan kerugian serta Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram