Tuduhan Najib seleweng dana RM2.28 bilion cacat, bertindih — Shafee


Najib Razak berdepan tuduhan rasuah berjumlah RM2.28 bilion. — The Star

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengemukakan kira-kira 2,500 muka surat sebagai hujahan bagi pembelaannya dalam perbicaraan rasuah RM2.28 bilion 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin bahawa, jumlah besar itu disebabkan bukti banyak dimiliki dan pihaknya tidak boleh berkompromi dalam hal tersebut.

"Ini menunjukkan bahawa pertuduhan itu cacat terutamanya empat pertuduhan utama dihadapi.

"Pertuduhan mengalami kecacatan seperti kepelbagaian dan perduaan yang membawa kepada kekaburan," katanya pada permulaan prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

BACA LAGI: MB Pahang fail afidavit sokong permohonan Najib isu tahanan rumah

BACA LAGI: Saman AS$346 juta 1MDB: Rosmah Mansor perlu fail pernyataan pembelaan sebelum 4 Julai

Perbicaraan 1MDB disambung semula Isnin untuk penghujahan pada akhir kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 30 Mei selepas perbicaraan berjalan selama lebih 200 hari.

Untuk rekod, Najib, 70, dibicarakan 25 pertuduhan secara keseluruhan: empat kerana salah guna kuasa yang didakwa membawa manfaat kewangan kepadanya mencecah RM2.28 bilion; dan 21 untuk pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah wang yang sama.

Empat pertuduhan salah guna kuasa itu dirangka mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai atau suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, apabila disabitkan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram