1MDB: Najib tarik balik rayuan, singkirkan hakim kes perbicaraan dana RM2.28bilion


Najib Razak telah menarik balik rayuannya untuk menyingkirkan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah daripada mempengerusikan kes perbicaraan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.28 bilion.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menarik balik rayuannya untuk menyingkirkan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah daripada mempengerusikan kes perbicaraan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.28 bilion.

Peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjelaskannya di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali di Mahkamah Putrajaya pada Selasa.

Menurutnya, ini disebabkan perbicaraan kes itu telah diteruskan dengan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan selesai memberi keterangan selama 10 hari.

BACA LAGI: MB Pahang fail afidavit sokong permohonan Najib isu tahanan rumah

BACA LAGI: Saman AS$346 juta 1MDB: Rosmah Mansor perlu fail pernyataan pembelaan sebelum 4 Julai

Pada 18 Ogos tahun lalu, Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya Sequerah menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes 1MDB.

Ia susulan pendedahan Sequerah pada 26 Julai tahun sama, bahawa hakim dan Jasmine pernah menjadi rakan kongsi di bawah firma guaman sama.

KUALA LUMPUR, 27 Jan -- Peguam Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Muhammad Shafee Abdullah merupakan peguam yang mewakili Najib dalam skandal 1MDB.

Muhammad Shafee berkata, perbicaraan utama yang kini di penghujung peringkat pendakwaan telah diteruskan dengan Loo memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan selama 10 hari.

Sekiranya terdapat rayuan dalam kes utama, beliau berkata, pihak pembelaan berhasrat untuk mengambil tindakan penolakan dalam rayuan utama.

Jelasnya, jika pihak pembelaan meneruskan rayuan atas keengganan hakim sekarang, mereka akan berhadapan dengan prinsip estoppel.

Estoppel ialah prinsip undang-undang di mana pihak pembela dihalang daripada membicarakan isu yang sama yang telah diputuskan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Kamal Baharin Omar yang hadir untuk pendakwaan tidak membantah.

Mahkamah rayuan kemudiannya membatalkan rayuan itu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi pada 18 Ogos 2023, menolak permohonan Najib untuk menarik balik Hakim Sequerah atas alasan Najib tidak berjaya membuktikan ia kes berat sebelah.

Hakim Sequerah, yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan berkata, sejak Loo meninggalkan firma itu pada 31 Disember 2008, tiada komunikasi atau pertemuan baik di peringkat profesional mahupun peribadi antara dia dan Loo.

“Sejak pemergian Loo, tiada bahan dikemukakan di hadapan mahkamah untuk menunjukkan sebarang bentuk perhubungan, sama ada profesional atau peribadi,” katanya.

Najib Razak dibicarakan untuk 25 pertuduhan secara keseluruhan, empat kerana salah guna kuasa yang didakwa membawa faedah kewangan kepadanya mencecah RM2.28 bilion dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan bersambung Isnin petang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram