CUBAAN dua suspek melarikan diri daripada polis memakan diri apabila terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda akibat melawan arus di persimpangan lampu isyarat Jalan Pengkalan, Alor Gajah, Melaka pada Selasa.
Menurut laporan Buletin TV3, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengejar kereta jenis Toyota Vios terbabit lebih 21 kilometer (km) dari Kampung Lapan, Bachang melalui Durian Tunggal hingga ke Jalan Pengkalan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pukul 9.10 pagi, membabitkan Toyota Vios dinaiki dua lelaki dengan Nissan Navara dipandu seorang pekebun sayur berusia 35 tahun.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah menyelit melawan arus, penunggang 'motorbike' meronta kaki hancur disagat kereta
BACA LAGI: [VIDEO] Polis Johor tahan warga Bangladesh tiada lesen pandu kereta lawan arus
Menurut beliau, unit peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah turut membantu operasi berkenaan.
"Hasil siasatan awal mendapati Toyota Vios dari arah Durian Tunggal menghala ke Alor Gajah.
"Sebaik sampai di persimpangan lampu isyarat Pengkalan tiba-tiba pemandu bertindak menyongsang arus hingga bertembung secara berdepan dengan Nissan Navara yang datang dari arah Alor Gajah.
"Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang berusia 45 dan 20 tahun yang juga penganggur patah dan cedera kaki kanan serta dirawat di Hospital Alor Gajah.
"Pemandu pacuan empat roda itu bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek yang beralamat di Pantai Dalam, Kuala Lumpur dan Bandar Baru Selayang, Selangor sedang dirawat dan akan ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kes ini pada asalnya membabitkan Toyota Vios dikejar URB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
"Suspek melarikan diri dari Kampung Lapan masuk ke Durian Tunggal dan sampai ke tempat kejadian di persimpangan lampu isyarat Pengkalan.
"Hasil pemeriksaan dalam kereta, polis turut menjumpai sejumlah dadah dan alatan pecah rumah disyaki untuk tujuan jenayah. Kes akan diserah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk siasatan lanjut," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai hingga mengakibatkan kemalangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram