Kes bunuh Nuraina Humaira, suspek remaja 17 tahun direman 7 hari


Jasad Nuraina ditemukan di kawasan berpaya dekat perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di Sungai Siput, Perak pada Sabtu.

SEORANG remaja lelaki direman seminggu bermula Isnin bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nuraina Humaira Rosli, 10, di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak.

Perintah reman terhadap suspek berusia 17 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurul Asyifa Redzuan bagi menyiasat kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek tiba di Mahkamah Majistret Sungai Siput kira-kira pukul 8.30 pagi Isnin dengan diiringi anggota polis.

BACA LAGI: Dua lokasi jadi tumpuan polis siasat kes bunuh Nur Farah Kartini

BACA LAGI: Paras air Sungai Trolak naik, pencarian bukti kes Nur Farah Kartini ditangguhkan

Menurut laporan polis, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa dirogol sebelum dibunuh.

Terdahulu, mayat murid tahun empat SK Pos Kuala Mu itu ditemukan di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah pukul 4.20 petang, hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin dilaporkan berkata bedah siasat menemukan kesan koyakan pada kemaluan mangsa.

Laporan sama dikeluarkan Hospital Sungai Siput juga menunjukkan terdapat kecederaan akibat tekanan pada bahagian leher mangsa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram