SEORANG penunggang lelaki mengalami kecederaan parah apabila kakinya berlumuran darah dan hancur akibat insiden yang berlaku di sebuah lebuh raya dipercayai di luar negara.
Ketika kejadian, individu terbabit terlebih dahulu dirakam menunggang secara berbahaya di laluan berkenaan apabila melawan arus untuk memotong kenderaan di hadapannya.
Namun, situasi getir melanda dirinya apabila penunggang terbabit didatangi sebuah kenderaan yang laju dari arah bertentangan yang sekali gus menyebabkan berlakunya perlanggaran kecil.
Insiden yang dirakamkan menerusi kamera dashcam itu hangat diperkatakan di laman media dengan rata-ratanya mengecam perbuatan penunggang terbabit kerana tidak mematuhi undang-undang jalan raya.
Meskipun berjaya mengelak daripada kemalangan, individu lelaki itu kemudiannya berhenti di sebuah kawasan untuk melihat kesan daripada perlanggaran kecil tersebut.
Menyedari kesan darah akibat kejadian berkenaan, pemuda terbabit kemudiannya terus meronta kesakitan sebaik kaki kirinya kelihatan hancur digesel kenderaan tersebut.
Tersentak dengan kecederaan dialami, penunggang motosikal berkuasa tinggi itu terus memadamkan rakaman kamera di topi keledarnya.
Menjengah di ruangan komen, rata-ratanya mengecam tindakan individu terbabit yang disifatkan cuai ketika menunggang di lebuh raya.
"Sendiri cari penyakit, kenapa nak memotong kalau menunggang di laluan dua arah, sekurang-kurangnya tunggu sehingga laluan lengang," kata Syahir Arsyad.
"Ngeri betul situasi macam ini, memang jadi tabiat penunggang motosikal berkuasa tinggi, mereka mana boleh tunggang perlahan," jelas Aarash Zai.
"Hancur kaki dia, pemandu yang langgar itu kalau tak berhenti memang sengaja nak kenakan mangsa, dia mesti perasan kalau ada perlanggaran kecil yang berlaku," ujar Yusuf Ahmad.
Belum ada sebarang laporan rasmi berkenaan insiden terbabit setakat ini dengan orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati ketika menunggang motosikal di lebuh raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram