Bekas guru dituduh bunuh Cikgu Istiqomah, tiada pengakuan direkodkan


Mohd Fadzly (berseluar pendek) didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka pada Isnin atas pertuduhan membunuh Istiqomah.

SUSPEK utama kes bunuh guru, Istiqomah Ahmad Rozi didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka pada Isnin.

Tertuduh, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.

Namun begitu, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berasal dari Medan Klebang Mewah, Chemor, Perak kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

BACA LAGI : Isteri bebas, suspek kes bunuh Cikgu Istiqomah dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Isnin

BACA LAGI : Polis sahkan Cikgu Istiqomah dan suspek kenalan lama, hanya ada urusan bisnes

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan bekas guru didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu melakukan bunuh terhadap Istiqomah di tepi jalan Kampung Tanjun Rimau Luar, Pulau Sebang, Melaka, antara 26 Disember 2023 hingga 31 Disember 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menafikan ikat jamin dan menetapkan 22 Oktober sebagai tarikh sebutan berikutnya.

Suspek dibawa ke mahkamah dengan memakai kemeja-T biru tua dan seluar pendek oleh anggota polis dari Jabatan Penyiasatan Jenayah (CID) .

Istiqomah, 34 tahun bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, Johor dilaporkan hilang selepas gagal pulang dari kerja pada 26 Disember 2023.

Kereta mangsa ditemui di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Pasir Gudang, Johor pada keesokan harinya iaitu pada 27 Disember.

2864830

Istiqomah yang juga seorang guru di SK Kota Masai 3 di Pasir Gudang dilaporkan hilang selepas tidak pulang dari tempat kerja pada 26 Disember tahun lalu.

Pada 31 Disember tahun lalu, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang, Melaka.

Polis kemudiannya mengenal pasti mayat sebagai Istiqomah melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Bukit Aman pada 2 Ogos lalu.

Berdasarkan petunjuk baharu itu, polis Melaka melancarkan siasatan mendalam bersama rakan sejawatan mereka di Johor sebelum menahan pasangan suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak, pada 5 Ogos lalu.

Suspek lelaki kemudiannya membawa kepada penemuan lebih banyak bahagian mayat mangsa, kira-kira enam kilometer dari lokasi mayat mangsa ditemui.

Isteri suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada terlibat dengan kes itu.

Ahli keluarga mangsa dijangka menuntut jenazah Allahyarham Istiqomah di Hospital Melaka pada pukul 2 petang pada Isnin untuk dibawa ke kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan bagi dikebumikan. — The Star/ RSN MURALI dan YUSRI SAHAT

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram