KEBIASAANNYA, kerja-kerja berat yang memerlukan tenaga dimonopoli oleh kaum lelaki.
Berkecimpung dalam industri kimpalan merupakan antara sektor pekerjaan yang dianggap berat, berbahaya dan jarang diceburi oleh golongan wanita.
Tidak semua mampu bekerja di ruang sempit dengan suhu panas.
BACA LAGI: Dari permukaan ke dasar laut, kemahiran kimpalan bawah air mampu kembangkan peluang kerjaya pelajar
Namun bagi empat jurukimpal wanita yang terlibat dalam projek pembinaan di limbungan kapal di Langkawi, Kedah, itu adalah situasi biasa yang dilalui mereka setiap hari.
Sudah lali saat berhadapan detik bahaya ketika bertugas di limbungan kapal selama lapan jam sehari, Nurul Izzah Ahmad Daud, 23, Nur Adifa Farain Razali (22), Nur Ikhmal Diniah Norsuaidi (19) dan Nurmira Allya Hamiza (21) membuktikan wanita juga berupaya melaksanakan tugas yang lazimnya didominasi lelaki.
Mereka yang juga kakitangan KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd di Bukit Malut, Langkawi itu terlibat dalam pembinaan dua kapal peronda milik Tentera Laut Nigeria berukuran 38 meter panjang dan tujuh meter lebar.
Industri kimpalan merupakan antara sektor pekerjaan yang dianggap berat dan jarang diceburi golongan wanita.
Nurul Izzah berkata, antara cabaran lain yang dihadapinya sepanjang bertugas dalam projek tersebut adalah kesukaran untuk mengangkat beban berat selain melakukan kesilapan semasa kimpalan.
“Kalau perlu angkat benda berat, saya minta tolong pekerja lelaki, kalau ada kerja susah atau kerja kimpalan tidak sempurna, saya minta bantuan pekerja lain juga. Di sini, kami bekerja sebagai satu pasukan.
"Kimpalan perlu dilakukan dengan teliti mengikut penandaan yang dibuat. Saya pernah melakukan kesilapan mengimpal dan rasa ingin berputus asa, tetapi saya kuatkan azam untuk melakukannya semula sehingga kimpalan sempurna," kata wanita yang berasal dari Batu Kawan, Pulau Pinang itu.
Nurul Izzah yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia Kimpalan Arka Logam dari Institut Kemahiran Geomatika Perak, Tanjung Malim berkata, dia banyak membuat kerja-kerja kimpalan paip di dalam bilik enjin sebagai sebahagian daripada pembinaan kapal.
Sementara itu, anak kelahiran Langkawi, Nor Adifa Farain berkongsi, dirinya tidak kisah bekerja di ruang sempit dan keadaan panas.
Lulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis itu memberitahu, minat mendalam terhadap bidang kimpalan mendorongnya untuk mengharungi cabaran berkenaan.
“Sebagai anak tempatan, saya bangga melihat ada syarikat kejuruteraan yang mempunyai kepakaran membina bot dan kapal di Langkawi, yang juga boleh membina kapal peronda tentera untuk negara luar,” kongsinya.
Mereka merupakan kakitangan KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd di Bukit Malut.
Tambah Nor Adifa Farain, dia berhasrat untuk menyambung pelajaran bagi memenuhi impiannya sebagai jurukimpal bawah air pada ssuatu hari nanti.
Dalam pada itu, penyelia jurukimpal syarikat itu, Sazali Rais Moh, 50, berkata, tiada sebarang isu berbangkit sekiranya wanita menceburi bidang tersebut, kerana kaum itu mampu melakukan kerja yang sama seperti lelaki.
"Cuma yang membezakannya ialah wanita muda ini belum mempunyai pengalaman dan kami ajar mereka sehingga memperoleh kemahiran mengimpal.
"Kerja yang dilakukan wanita-wanita ini sangat memuaskan dan kini setanding dengan jurukimpal lelaki," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah turut merakamkan ucapan tahniah kepada syarikat KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd dan Northern Shipyard Sdn Bhd kerana berjaya menyiapkan pembinaan kapal peronda Tentera Laut Nigeria dalam tempoh 24 bulan.
"Pembinaan kapal ini menggunakan kepakaran 85 warga tempatan, termasuk empat wanita muda yang berani," katanya semasa majlis penyerahan kapal peronda Sea Eagle 38M Tentera Laut Nigeria pada Selasa, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram