PROGRAM Pengenalan Kimpalan Di Bawah Air mampu membuka peluang yang lebih cerah kepada pelajar universiti untuk memiliki kerjaya yang lebih luas.
Program itu dijalankan dengan kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Aquasplash Academy yang bertempat di Johor pada 22 hingga 25 April lepas.
Profesor Madya Ts. Dr. Siti Rabiatull Aisha Idris berkata, program ini disertai oleh enam institusi termasuklah Institut Pengajian Tinggi (IPT), kolej-kolej dan polikteknik di seluruh negara.
BACA LAGI: Nota 'SOS' selamatkan pembantu rumah dikurung di balkoni, tak dibayar gaji di Petaling Jaya
Peserta Program Pengenalan Kepada Kimpalan Di Bawah Air miliki banyak kemahiran mengenai kimpalan bawah air.
"Program ini sasarkan untuk pelajar tahun akhir, berada di semester atau graduan yang telah tamat belajar pada tahun 2023 namun masih belum mendapat dalam bidang kerjaya," katanya.
Siti Rabiatull berkata, para pelajar yang mengikuti program ini akan mendapat lebih kemahiran serta pengetahuan mengenai kimpalan bawah air.
"Pelajar diajar dengan topik mengenai teknik kimpalan, prosedur keselamatan di air, latihan menyelam serta pemeriksaan kualiti kimpalan," katanya.
Untuk rekod, kimpalan bawah air atau dikenal juga sebagai kimpalan basah adalah proses penyambungan logam yang dilakukan di dalam air sama ada di dasar laut atau di lokasi perairan lain.
Siti Rabiatull berkata, kimpalan bawah air memerlukan teknik yang khusus melalui latihan yang komprehensif disebabkan bekerja di bawah air melibatkan risiko yang tinggi.
"Latihan yang diberikan kepada peserta melalui program kali ini menggabungkan teori dan praktikal.
"Para peserta diajar teknik kimpalan dasar, penggunaan alat-alat kimpalan khusus, dan prosedur keselamatan yang ketat untuk bekerja di bawah air," katanya.
Dengan adanya latihan yang komprehensif, Siti Rabiatull berkata, peserta dapat memiliki persiapan yang lengkap mengikut kehendak industri dalam kerjaya.
"Kimpalan di bawah air merupakan salah satu kerjaya yang menarik dan mencabar.
"Mereka yang memiliki kemahiran kimpalan di bawah air ini sering mendapat permintaan yang tinggi dengan peluang yang baik untuk perkembangan kerjaya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram