[VIDEO] Ada rayuan pindah Najib dari Penjara Kajang ke rumah? — Ismail Sabri


  • Primer
  • Khamis, 07 Mac 2024

Ismail Sabri membangkitkan soalan berkenaan kes Najib di dalam Dewan Rakyat pada Khamis. — The Star

AHLI Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta kerajaan memberi penjelasan terhadap rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjaranya di rumah menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

Perkara itu dibangkitkan kerana beliau difahamkan rayuan sedemikian sudah dikemuka kepada Lembaga Pengampunan yang bersidang sebelum ini.

"Saya difahamkan sewaktu membuat rayuan pengampunan oleh Najib, selain rayuan pengampunan, saya difahamkan ada lampiran untuk membuat rayuan supaya beliau ditukarkan tempat tahanan dari tahanan di (Penjara) Kajang, Selangor ke tahanan di rumah.

"Saya difahamkan perkara ini ada dalam sebahagian lampiran permohonan pengampunan atau rayuan itu. Jadi soalan saya, apakah ini benar atau tidak.

"Kalau ianya benar, apakah ianya dibincangkan sewaktu pembentangan rayuan pengampunan dan apakah keputusannya," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Khamis.

BACA LAGI : Najib masih hilang kelayakan bertanding pada PRU 2027 — Peguam

PUTRAJAYA, 16 Ogos -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang media di Mahkamah Persekutuan hari ini.Mahkamah Persekutuan hari ini, menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya bagi membatalkan perbicaraan yang menyaksikan beliau disabitkan kesalahan serta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun. — The Star

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, kerajaan secara prinsip bersetuju memulakan PBSL menerusi tahanan di rumah kepada banduan yang menjalani hukuman empat tahun dan ke bawah sebagai usaha mengurangkan kesesakan penjara.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses meneliti kaedah pelaksanaan inisiatif itu dari sudut peruntukan undang-undang berkaitan bagi memastikan sama ada akta serta peraturan sedia ada perlu digubal atau tidak.

BACA LAGI : Najib bebas 2028, hukuman penjara, denda dikurangkan lebih 70 peratus — Lembaga Pengampunan

Namun, Saifuddin membidas laporan yang mendakwa tindakan kerajaan melaksanakan PBSL menerusi tahanan di rumah adalah untuk mengeluarkan Najib dari penjara.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu bermatlamat untuk mengurangkan kesesakan di kesemua 43 penjara di Malaysia yang mana ia menempatkan kira-kira 80,000 orang banduan buat masa ini.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang pada 1 Februari lalu mengumumkan, Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun serta denda dikurangkan dari RM210 juta kepada RM50 juta. — The Star/GERARD GIMINO, RAGANANTHINI VETHASALAM DAN TARRENCE TAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram