JABATAN Penjara Malaysia menafikan terdapat layanan istimewa terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ketika ini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nordin Muhammad berkata, kesemua banduan diuruskan mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk kepada Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan.
Ujarnya, ia seperti yang tertakluk kepada peraturan dan Akta Penjara 1995.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa tindakan tegas juga akan diambil sekiranya dikesan ada pegawai penjara yang memberi layanan istimewa kepada banduan.
"Melanggar peraturan ditetapkan adalah perkara yang sama sekali tidak dapat diterima, sekiranya dikesan wujud perbuatan sedemikian, maka tindakan segera diambil.
"Soal ini kami di pihak penjara sama sekali tidak akan berkompromi, asas undang-undang kami sentiasa junjung tinggi," katanya seperti dipetik menerusi laporan Sinar Harian pada Jumaat.
BACA LAGI: 'Pengangkutan awam masih kurang memuaskan tapi dah nak fokus kereta EV'
Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhammad.
BACA LAGI: Ramai tak beli baju raya, netizen kongsi kisah sedih persiapan ala kadar Aidilfitri
Pada Khamis, penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang baru dibebaskan dari Penjara Kajang mendakwa Najib mendapat layanan istimewa di penjara tersebut.
Memulakan hukumannya pada 25 September 2023, Wan ji sebelum ini dibebaskan dari Penjara Kajang pada 1 Januari lalu melalui Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).
Wan Ji dalam satu temu bual bersama media tempatan berkata, dia pernah melihat kelibat Najib ketika sedang menjalani hukuman di pusat tahanan berkenaan dan mendakwa bekas pemimpin negara itu mendapat layanan sangat istimewa berbanding banduan lain.
Katanya, Najib juga tidak memakai baju banduan seperti tahanan lain dengan beliau dilihat mengenakan pakaian seperti individu yang 'duduk di rumah'.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas dia didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2020 dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Berhad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram