KERJAYA sebagai anggota tentera semakin kurang diminati dalam kalangan generasi muda masa kini.
Menganggap ia sebagai pilihan terakhir untuk menceburkan diri dalam bidang ketenteraan, ada pihak mendakwa kerjaya itu memerlukan pengalaman ataupun ciri fizikal yang baik jika ingin menganggotai unit beruniform tersebut.
Namun, peredaran semasa telah membuka lebih banyak peluang untuk golongan muda khususnya untuk menceburi bidang ketenteraan bermula di peringkat universiti sebagai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).
BACA LAGI: ATM buka peluang rakyat Malaysia jadi pegawai tentera
Mungkin ramai yang menganggap penyertaan sebagai pasukan PALAPES di peringkat pengajian tinggi hanya sekadar memenuhi syarat universiti namun, ia sebenarnya mampu melayakkan seseorang itu untuk melangkah masuk dalam anggota tentera.
Seorang kadet PALAPES Laut Universiti Malaya (UM), tegas mengatakan bahawa pilihan untuk menyertai PALAPES bukan satu perkara sia-sia.
Azhar Aizat, 29, berkata, peluang untuk menganggotai tentera kini semakin terbuka dan penuntut di universiti boleh mula mendaftar melalui pasukan PALAPES.
"PALAPES di Universiti Malaya memang antara terbaik dalam negara, malah peluang untuk terus diserap masuk tentera laut amat cerah.
"Tempoh latihan selama tiga tahun amat berguna dan setiap kadet dilatih seolah-olah berada di dalam tentera. Kami didedahkan dengan latihan menembak, kem jati diri dan kelangsungan hidup di dalam hutan.
"Ia sangat membantu kita untuk lebih berdisiplin di samping ilmu ketenteraan yang sememangnya tak akan boleh didapati di dalam buku ataupun laman media," katanya kepada Majoriti.
PALAPES Laut Universiti Malaya menjalankan aktiviti kawad dalam latihan.
Mengulas lanjut soal keistimewaan sebagai PALAPES Laut UM, Azhar menjelaskan bahawa kadar elaun kini ditetapkan sebanyak RM80 mengikut pangkat.
"Elaun berubah ikut pangkat tetapi secara kasarnya kadet akan terima RM80 sehari dan setiap kem akan ditanggung pihak universiti dan pasukan PALAPES.
"Paling ramai yang tak tahu, kadet yang tamat pengajian akan diberikan pangkat leftenan muda dan diserap masuk sebagai pegawai tentera.
"Setidak-tidaknya masa depan dah terjamin dan ia merupakan jalan singkat untuk golongan muda melangkah masuk dalam bidang ketenteraan," katanya.
Tambahnya, kemasukan ke PALAPES Laut UM akan dibuka pada September kelak dan ia merupakan peluang terbaik untuk penuntut universiti terbabit menjadi kadet
Selain daripada PALAPES UM, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga merupakan antara yang aktif dan saling bekerjasama dalam mengangkat martabat ketenteraan bermula di peringkat pengajian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram