BAPA kepada penyanyi dan YouTuber Muhammad Nidza Afham akur dengan kematian anaknya, walaupun ia bukanlah pengakhiran yang diharapkannya.
Mokhtar Mahmud, 57, berkata, ketika melaungkan azan di Jambatan Kota, Klang, Selangor, dia masih menaruh harapan agar anaknya selamat pulang.
“Apabila saya azan pada petang ini (Rabu), saya berharap agar ‘Am’ (Muhammad Nidza Afham) ditemui dalam keadaan selamat. Tetapi saya sudah menerima takdir. Itu memang 'Am', anak saya," katanya.
BACA LAGI: Penyanyi hilang lepas joging, famili hanya jumpa telefon dan dompet di jambatan Sungai Klang
Mokhtar berkata, dia bergegas ke lokasi penemuan mayat anaknya selepas menerima panggilan daripada ahli keluarga pukul 7.30 malam Rabu.
"Setibanya di lokasi, keluarga mengesahkan mayat adalah anak saya," katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di tapak penemuan mayat, berhampiran Solok Sungai, Taman Telok Pulai Indah, Klang.
Mokhtar berkata, kali terakhir dia melihat anak kelima daripada tujuh anaknya itu adalah semasa perkahwinan seorang lagi anak lelakinya pada bulan lalu.
"Petang semalam, Am menghubungi saya untuk memberikan sedikit wang saku. Saya masih terkejut dengan kejadian ini tetapi menerimanya dengan ketentuan ALLAH," katanya.
Mokhtar berkata, beliau akan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut, dan anaknya dijangka dikebumikan di Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor.
Terdahulu, Muhammad Nidza Afham dilaporkan pergi berjoging seorang diri di Stadium Sultan Suleiman di Klang pada Selasa sebelum disedari hilang pada pukul 9 malam.
Kakaknya, Afrina Hanie, mendakwa, kehilangannya ada kaitan dengan rompakan, kerana kad debit dan wang tunainya hilang, manakala kad pengenalan, kad pelajar dan gambarnya ditinggalkan dalam dompet ketika ditemui di jambatan Sungai Klang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram