Bapa rayu anak perempuan pulang, pelajar kolej matrikulasi Tangkak hilang lepas kali terakhir dilihat naik Viva hijau


  • Tular
  • Selasa, 13 Ogos 2024

Nur Ayuni Karmila, 20, dikatakan hilang lepas kali terkahir dilihat menaiki kereta Viva berwarna hijau di kediamannya dekat Kampung Parit Kasim, Parit Raja, Batu Pahat.

SEORANG wanita dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna hijau di Kampung Parit Kasim, Parit Raja, Batu Pahat, Johor pada Isnin.

Kehilangan mangsa disedari jirannya yang mendakwa, Nur Ayuni Karmila, 20, menaiki kereta berkenaan sekitar pukul 12 tengah hari dan tidak pulang ke kediamannya sejak dari kejadian.

Menggesa orang ramai tampil membantu jika ada ternampak atau terjumpa mangsa, bapa saudaranya menerusi hantaran di Facebook berkongsi maklumat berkaitan kehilangan tersebut.

BACA LAGI: Kanak-kanak hilang, pemilik kafe tawar RM10,000 jika dapat kesan Leo Jia Hui

BACA LAGI: Kanak-kanak 6 tahun hilang ketika hadiri sambutan Bon Odori di Johor

"Jika ada sesiapa ternampak anak sedara saya (Ayu) yang telah keluar rumah dan tak dapat dikesan sejak petang semalam.

"Kali terakhir nampak oleh jiran, Ayu menaiki keretaViva hijau yang tidak dikenali, laporan polis telah dibuat. Minta jasa baik semua tularkan kes ini sehingga dijumpai dan pulang ke pangkuan keluarganya," katanya.

Dalam pada itu, bapanya, Mohd Jamari, 46, menjelaskan insiden kehilangan itu disedarinya sebaik pulang dari kerja.

"Saya baru pulang rumah dari kerja ketika itu, jiran yang bagitahu ada ternampak anak naik Viva hijau, tapi kami pun tak pernah tahu jika Ayu ada kawan yang pandu kereta itu.

"Ayu merupakan pelajar Kolej Matrikulasi Tangkak, Johor, dan laporan polis telah dibuat cuma siasatan masih belum ada sebarang penemuan.

"Kami tak ada suspek mana-mana pihak, kawan-kawan dia pun semuanya tak tahu dia hilang. Mohon sesiapa yang ada maklumat bantu kami segera," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini di Tangkak, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun juga dilaporkan hilang pada Julai lalu sebelum pulang dalam keadaan selamat ke rumah keluarganya di Jalan Kerayong, Rumah Rakyat 1 Pagoh, Tangkak.

Keluarganya memaklumkan, remaja berkenaan pulang sendiri ke kediamannya selepas dikatakan berada di kawasan berdekatan sepanjang dilaporkan hilang.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar menasihatkan ibu bapa perlu pastikan anak-anak sentiasa dalam perhatian dan pemerhatian mereka agar kejadian seperti itu tidak berulang.

Jelasnya, setiap aktiviti anak-anak perlu diambil tahu, termasuk pergerakan pergi dan balik ke sekolah, berhubung dengan pihak sekolah serta pergaulan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram