SIAPA sangka di sebalik tirai besi penjara, ada bakat terpendam dimiliki banduan yang mahir dalam seni ukiran kayu dan barangan kraf tangan.
Namun, persepsi negatif masyarakat yang memandang rendah terhadap status banduan kini semakin pudar dengan penghasilan beberapa barangan kraf hasil ukiran kelompok golongan tersebut.
Perkara itu didedahkan Pegawai Vokasional dan Industri Penjara Taiping, Rasidi Mohd Nor, 51, yang menganggap ia sebagai salah satu perkara yang perlu diketengahkan dalam masyarakat.
BACA LAGI: Lupakan kerjaya kerani, kini raih RM4,000 sebulan hasil kraftangan kreatif
BACA LAGI: Enam penggiat seni lokal terima geran RM60,000 bantu perkasa hasil kraf tempatan
Jelasnya, Penjara Taiping kini semakin dikenali dengan produk kraf tangan dan banduan di situ menurutnya sangat komited dalam menceburi bidang tersebut.
Bercerita lanjut berhubung detik membanggakan pernah dilalui, Rasidi berkata, Penjara Taiping sebelum ini pernah menghasilkan capal buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau kali pertama melapor diri selaku pemimpin nombor satu negara.
"Mungkin ramai yang tak tahu, capal dipakai PM Anwar ketika kali pertama bertugas dihasilkan banduan Penjara Taiping.
"Kami menerima tempahan dari Jabatan Penjara Malaysia dan ketika itu sangat teruja apabila kami diberikan mandat untuk menghasilkan capal.
"Lebih mengejutkan, tiada sebarang syarat ataupun pesanan diminta beliau berkaitan jenis bahan ataupun corak pada capal tersebut. Tetapi kami masih mengekalkan kualiti di tahap terbaik dengan ia diperbuat 100 peratus daripada kulit lembu asli," katanya kepada Majoriti.
Penampilan Anwar yang berbaju Melayu lengkap songkok dan samping berserta capal ketika kali pertama melaporkan diri bagi memulakan tugas sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Rasidi turut meluahkan keinginannya untuk mengangkat Penjara Taiping sebagai 'kilang' kraf tangan sekali gus membuka mata masyarakat umum berkaitan produk dihasilkan di penjara berkenaan.
Jelasnya, selain capal, barangan lain seperti pasu, kerusi rotan dan labu sayung turut meraih pasaran di galeri Penjara Taiping.
"Pelbagai lagi produk dihasilkan banduan di sini, rumah hiasan rotan, kerusi malas, tudung saji dan mimbar masjid antara kepakaran kami di sini.
"Tak ramai yang tahu Penjara Taiping ada buat produk macam ini, bahkan harga kami lebih murah dan berpatutan daripada pasaran luar.
"Banduan di sini semuanya tak ambil cas upah, cuma kos barang sahaja yang dikira sebab itu harga kami berpatutan. Yang mahalnya semua merupakan hasil buatan tangan," katanya.
Antara barangan yang dijual di Galeri Penjara Taiping.
Turut menggalakkan masyarakat memberikan sokongan dan galakan terhadap individu berstatus banduan, Rasidi mengajak orang ramai berkunjung ke Galeri Penjara Taiping, Perak untuk mendapatkan barangan kraf tangan istimewa yang sesuai dijadikan sebagai hadiah ataupun kelengkapan harian.
Menjanjikan kualiti pada harga berpatutan, Penjara Taiping pada masa sama sedia menerima tempahan daripada pihak yang berminat untuk mendapatkan barangan hasil buatan tangan di situ. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram