RAMAI pilu melihat rakaman tular yang memaparkan bapa penyanyi Nidza Afham melaungkan azan di Jambatan Kota di Jalan Perbandaran, Klang, Selangor dalam keadaan menangis.
Kakak kepada penyanyi itu, Nur Irfahanie Mokhtar berkata, bapanya tidak mampu menahan air mata sewaktu gigih mencari anaknya yang hilang.
"Bapa mana yang tak risau apabila anak mereka tiba-tiba hilang. Dah namanya juga bapa.
"Mak ayah saya patah hati apabila tahu anak mereka tak dapat dijejak sampai sekarang. Saya pun anxiety teruk sampai muntah-muntah sebab risau," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Penyanyi hilang lepas joging, famili hanya jumpa telefon dan dompet di jambatan Sungai Klang
BACA LAGI: Bersembunyi dalam bilik hotel, suami Cut Intan Nabila sempat dicekup sebelum sempat melarikan diri
Sebelum dilaporkan hilang, Irfahanie berkata, adiknya itu pergi keluar joging di Stadium Sultan Suleiman, Selangor dengan menaiki pengangkutan awam.
"Biasa memang dia pergi stadium sendirian. Sudah jadi rutin dia joging malam untuk post recovery kecederaan lutut dia.
"Sebab dia tahun lepas ada buat pembedahan di bahagian kaki," katanya.
Katanya, individu pertama yang mengesan kehilangan Afham adalah teman wanitanya pada sekitar pukul 9 malam Selasa.
"Afham tak membalas mesej teman wanitanya pada pukul 9 malam. Cuba call juga tidak diangkat.
"Apabila lihat lokasi terakhir dalam aplikasi pengesan keberadaan, find my iPhone menunjukkan di jambatan berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, kakaknya turut merayu agar orang awam yang terjumpa sebarang maklumat membantunya dalam pencarian bekas peserta I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga itu.
"Kami masih berharap kerana belum dapat apa-apa petunjuk apa yang berlaku dengan dia.
"Kamera litar tertutup (CCTV) pun kami (keluarga) ada nampak dia keluar daripada stadium tetapi terputus. Jadinya kami masih mencari maklumat tambahan di kawasan berkenaan iaitu berkaitan lokasi seterusnya yang dia pergi dan kejadian sebenar yang berlaku kepada Afham," katanya.
Difahamkan, kelibat Afham ada dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran pada pukul 9.03 malam.
Sebelum ini, polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan kes seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Nidza Afham Mokhtar yang hilang sejak Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner, Cha Hoong Fong berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kes itu pada pukul 4.22 pagi, Rabu.
"Adik kepada lelaki itu telah pergi ke lokasi terakhir itu dan telah menjumpai satu telefon bimbit jenis iPhone dan dompet berisi dokumen milik Muhammad Nidza Afham seperti kad pengenalan dan kad pelajar kecuali kad mesin juruwang automatik (ATM) yang telah hilang," katanya.
Seorang lagi adiknya, Afrina Hanie Mokhtar dilaporkan berkata, polis percaya kehilangan Afham berkaitan dengan kes samun susulan kehilangan kad debit dan wang tunai.
Dalam pada itu, kad pengenalan, kad pelajar dan gambar disimpan dalam dompet serta tidak berusik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram