SEKTOR kesihatan awam negara kerap kali menerima kritikan ekoran perkhidmatan dan layanan didakwa tidak begitu baik daripada kalangan jururawat ataupun petugas hospital.
Tidak cukup dengan itu, ada juga segelintir pihak mula meragui kebolehan doktor di hospital awam yang dianggap kurang cermat dari segi rawatan mahupun perubatan dijalankan.
Namun, dakwaan itu disangkal bekas Penolong Pengarah Kanan Kejururawatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Umi Kalsom Abd Rahman, 69, yang menganggap teknologi perubatan Malaysia kini semakin maju dan seiring dengan perkembangan semasa.
BACA LAGI: 747 pegawai perubatan akan ditempatkan di semua hospital negeri — KKM
BACA LAGI: KKM umum semakan 3 perincian SOP Covid-19 dalam masa terdekat
Jelasnya, bebanan kerja melampau merupakan antara faktor menjerumus ke arah itu, namun ia sama sekali tidak menjejaskan kebolehan doktor pakar yang dimiliki KKM ketika ini.
"Pesakit di hospital awam terlampau ramai, bukannya jururawat sengaja beri layanan buruk tetapi perlu faham mereka juga manusia biasa, ada kalanya letih dan kepenatan.
"Tapi kalau dilihat dari segi perubatan kita semakin canggih, kalau dulu zaman saya jarum pun kena rebus dulu sebelum cucuk pesakit, tapi sekarang perkakas dan kelengkapan hospital sudah diperbaharui, semuanya untuk kepuasan pesakit kita juga.
"Tanggapan orang berbeza-beza, tapi pada pandangan saya petugas kita masih di tahap yang terbaik, yang terasa itu semua mungkin pesakit sebab dalam keadaan tak sihat semuanya jadi sensitif.
"Dengan bayaran berpatutan dan keupayaan doktor ataupun petugas sedia ada, saya rasa zaman sekarang jauh lebih baik dari dulu yang mana fasiliti hospital pun masih berkurangan satu ketika dahulu," katanya kepada Majoriti.
Umi Kalsom (dua dari kiri) ketika bertugas di KKM pada 2014.
Tambahnya, tempoh perkhidmatannya selama 39 tahun sebelum ini cukup mencabar jika dibandingkan dengan sekarang.
Jelasnya, fasiliti di luar bandar sekitar 1980-an dahulunya jauh berbeza dengan sekarang kerana kenderaan ambulans ataupun jumlah tenaga pakar sangat terhad.
"Saya pernah bertugas di klinik kesihatan Ayer Hitam, Johor, ketika itu saya berkhidmat di wad penjagaan ibu dan anak tetapi dalam pada masa sama turut merawat pesakit dari kes kemalangan dan kritikal.
"Kalau ada kemalangan, satu lori mereka hantar pesakit ataupun mayat beramai-ramai kerana kekurangan van ambulans, apatah lagi tenaga kerja memang tidak mencukupi.
"Tetapi sebagai petugas kesihatan, tanggungjawab kami sentiasa ingin berikan yang terbaik walau teruk macam mana sekali pun keadaan, yang penting pesakit diberikan rawatan terbaik," ujarnya.
Turut meninggalkan pesanan kepada masyarakat, Umi menganggap kerjaya sebagai jururawat sangat mulia kerana mampu menyelamatkan ribuan nyawa dan insan dalam kesakitan.
"Walau di mana jua kita berada, jasa jururawat dan petugas kesihatan tidak akan hilang di dunia, bahkan akan sentiasa dihargai walaupun tempoh perkhidmatan sudah pun tamat," tambahnya.
Dr Dzulkefly sedang mengambil pendekatan mengatasi bebanan kerja melampau dialami petugas kesihatan.
Sebelum ini, KKM pada Julai lalu telah menjalankan semakan semula terhadap beberapa amalan sedia ada seperti tugasan dalam panggilan (on-call) yang terlalu panjang sebagai langkah menangani bebanan kerja dan kelesuan lampau dalam kalangan petugas barisan hadapan di hospital.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM juga mengambil langkah lain untuk menangani cabaran sedia ada antaranya dengan mengoptimumkan taburan pesakit dengan adanya hospital kluster, mengadakan kerjasama awam-swasta bagi aktiviti penyumberluaran dan mengerah kakitangan ke jabatan yang lebih memerlukan.
Jelasnya, KKM juga berusaha memanjangkan tempoh operasi klinik kesihatan untuk mengurangkan bebanan di hospital selain mengenal pasti kesenjangan tenaga kerja melalui tinjauan bekalan dan permintaan yang sedang dibuat dengan kerjasama Bank Dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram