Pengalaman jadi wanita pertama Asia terajui program UN-Habitat bolehkan Maimunah pegang 'title' Datuk Bandar KL


  • Primer
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Pelantikan Maimunah, 63, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

PENASIHAT kepada Majlis Antarabangsa Inisiatif Alam Sekitar Tempatan (ICLEI), Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

"Saya percaya dengan pelantikan itu, Maimunah akan dapat meneruskan kesinambungan pengalaman dan sumbangan beliau untuk memimpin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti bagi memastikan kemampanan pembangunan, kecemerlangan dan kegemilangan berterusan ke arah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang maju dan sejahtera.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita parah 8 kali ditikam di Taman Sri Muda, perompak gagal kebas apa-apa

BACA LAGI: [VIDEO] Luahan sayu isteri minta pelumba jet ski, Abdullah Abdul Mubin pulang undang sebak

"Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Rabu.

Tambah Dr Zaliha lagi, Maimunah turut mempunyai pengalaman yang luas malah pernah menjadi Pengarah Eksekutif Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya, selama enam tahun dan menjadi satu-satunya wanita Asia pertama yang memegang jawatan terbabit.

"Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).

"Dengan pengalaman selama 39 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti, beliau adalah individu yang bertanggungjawab mengembalikan kedudukan UN-Habitat sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan.

"Beliau juga pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Secretary-General's Task Force on the Future Cities dan Pengerusi Bersama Local 2030 Coalition.

"Maimunah juga menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti pengiktirafan sebagai Tokoh Perancang Bandar Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Ahli Kehormat Royal Town Planner's Institute, United Kingdom; Felo Kehormat, United Cities of Local Government (UCLG) dan Ambassador of His Majesty King Charles III (King's Foundation) dalam perbandaran mampan di negara-negara Komanwel.

"Beliau juga dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Alam Bina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia," katanya.

Dr Zaliha turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang menjawat jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram