Dibuli siber, Imane Khelif saman JK Rowling, Elon Musk dan Trump


  • Podium
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Khelif yang memenangi pingat emas dalam acara tinju wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 bertindak menyaman JK Rowling, Elon Musk dan Trump kerana membulinya di media sosial. — Agensi

PENULIS buku siri Harry Potter, JK Rowling dan Elon Musk antara dua figura yang disaman peninju wanita Algeria, Imane Khelif, yang memenangi pingat emas dalam acara tinju wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 kerana membulinya di media sosial.

Memetik laporan media antarabangsa, kedua-dua tokoh terkenal itu disaman kerana didakwa membulinya secara melampau sepanjang berlangsungnya Olimpik Paris.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita parah 8 kali ditikam di Taman Sri Muda, perompak gagal kebas apa-apa

BACA LAGI: Ramai tidak tahu sebab sebenar Imane Khelif dianggap atlet wanita ‘jadian’ bergenetik lelaki sejak kecil

imane 2

Khelif telah memfailkan aduan jenayah kepada pihak berkuasa Perancis atas dakwaan gangguan siber yang dialaminya pada di pusat anti-kebencian dalam talian di pejabat Pendakwa Raya Paris. — Agensi

Menurut laporan dari Variety, Khelif telah memfailkan aduan jenayah kepada pihak berkuasa Perancis atas dakwaan gangguan siber yang dialaminya pada 9 Ogos di pusat anti-kebencian dalam talian di pejabat Pendakwa Raya Paris.

Seorang peguam yang berpangkalan di Paris yang mewakili Khelif, Nabil Boudi mengesahkan bahawa kedua-dua individu Musk dan Rowling telah dinamakan dalam saman tersebut.

Boudi menjelaskan bahawa kes ini difailkan terhadap X (Twitter) untuk memastikan pihak pendakwa mempunyai kebebasan untuk menyiasat semua individu yang terlibat, termasuk mereka yang menggunakan nama samaran untuk menyebarkan kebencian.

Di bawah undang-undang Perancis, kes ini difailkan terhadap 'orang tidak dikenali', memberi peluang kepada pasukan peguam yang mewakili Khelif untuk menamakan individu lain yang mungkin terlibat dalam menyebarkan maklumat palsu dan kebencian.

Imane

Walaupun menghadapi serangan dalam talian, Khelif tetap berjaya mengharungi kontroversi ini dan merangkul pingat emas dalam acara final wanita 66kg. — AFP

Rowling telah menimbulkan kontroversi apabila beliau memuat naik gambar Khelif menentang peninju Itali, Angela Carini.

Dalam catatannya di Twitter, Rowling menuduh Khelif sebagai seorang lelaki yang ‘menikmati derita wanita yang baru sahaja ditumbuk di kepala’.

Manakala Elon Musk yang juga pemilik X, juga terpalit apabila beliau memberi sokongan kepada kenyataan perenang Riley Gaines yang menyatakan ‘lelaki tidak sepatutnya berada dalam sukan wanita’, dengan balasan “Semestinya!.”

Dalam pada itu, Boudi turut menyebut bahawa bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, akan disiasat sebagai sebahagian daripada kes itu.

Trump sebelum ini memuat naik gambar Khelif menentang Carini di Twitter dengan mesej, “Saya akan pastikan lelaki tidak akan berada dalam sukan wanita!”

Untuk makluman, Khelif yang lahir sebagai wanita dan disenaraikan sebagai wanita dalam pasportnya, menjadi mangsa kepada kecaman, ucapan berbaur kebencian serta maklumat palsu mengenai kelayakannya untuk bertanding dalam kategori wanita di Olimpik.

Walaupun menghadapi serangan online, Khelif tetap berjaya mengharungi kontroversi itu dan merangkul pingat emas dalam acara final wanita 66kg. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram