Ramai anak muda berebut nak jadi pengawal keselamatan, dipandang tinggi — Presiden MUSGA


  • 112
  • Selasa, 13 Ogos 2024

Kerjaya sebagai pengawal keselamatan semakin diminati dalam kalangan belia. — Gambar hiasan

KERJAYA sebagai pengawal keselamatan sering kali dipandang rendah oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia.

Bidang itu yang kini semakin banyak dikuasai golongan warga asing, seolah-olah tiada pasaran dalam kalangan penduduk tempatan ekoran isu gaji dan taraf rendah diperkatakan.

Namun, tanggapan itu disangkal Presiden Persatuan Pengawal Keselamatan Bersatu Malaysia (MUSGA), Mohd Nizam Hamzah, 56, yang menyifatkan persepsi terhadap pekerjaan itu kini kian bertambah baik.

BACA LAGI: Terlepas tembakan shotgun ketika bertugas, pengawal keselamatan ditahan polis di Alor Gajah

BACA LAGI: Pernah diserang hendap komunis, bekas anggota ATM bina replika rumah serlah identiti Kampung Permatang

Jelasnya, golongan muda semakin memandang tinggi kerjaya sebagai pengawal keselamatan dengan rata-rata permohonan kerja datang daripada kumpulan usia tersebut.

"Golongan remaja sekarang berebut nak jadi pengawal keselamatan salah satu punca utama adalah kesukaran mendapatkan pekerjaan. Tapi dalam hal lain, kerja pengawal ni dah makin banyak diberikan faedah oleh syarikat.

"Kebanyakan syarikat dah mula pandang tinggi pekerjaan ini, faedah seperti cuti sakit berbayar, pampasan kesihatan dan cuti tahunan semakin ditambah baik.

"Kalau dahulu, pengawal keselamatan langsung tiada cuti sakit dan syarikat banyak yang tindas kami, tetapi syukur suara kami didengari pihak Jabatan Tenaga Kerja dan taraf dinaikkan secara tidak langsung," katanya kepada Majoriti.

6183891233177452334

Mohd Nizam telah berkhidmat selama 18 tahun sebagai pengawal keselamatan.

Dalam pada itu, pihaknya juga kini difahamkan sedang dalam proses penubuhan yayasan keselamatan bagi menjaga kebajikan pengawal.

Jelasnya, perkara itu masih di peringkat cadangan namun rangka kerja serta keperluan idea tersebut sedia untuk diusulkan ke peringkat atasan.

"Kami sentiasa berusaha untuk menambah baik faedah dan kebajikan pengawal keselamatan, dengan adanya tabung yayasan, ia mampu menyelamatkan ahlinya jika dilanda musibah.

"Latihan akademi pengawal turut disertakan dalam cadangan itu bertujuan melahirkan pengawal yang lebih terlatih dan berdisiplin dalam menjalankan tugas.

"Tiada sebarang kriteria ditetapkan untuk menjadi pengawal, seawal usia 18 tahun sudah boleh memohon asalkan ada minat dan sedia untuk berkhidmat," katanya.

Tambahnya, isu gaji rendah diperkatakan warganet menurutnya juga semakin bertambah baik dengan kadar bayaran minimum sekarang bermula RM1,500 hingga RM3,000.

Untuk rekod, kerjaya sebagai pengawal keselamatan pernah diangkat di layar perak menerusi filem berjudul Leha pada April lalu.

Mengangkat taraf pekerjaan itu ke satu tahap lebih tinggi, naskhah arahan Azaromi Ghozali tersebut mengetengahkan keberanian dan peranan pengawal keselamatan dalam negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram