TOURISM Selangor, agensi pelancongan rasmi negeri Selangor sekali lagi membuktikan komitmen untuk memupuk bakat tempatan dengan menganugerahkan geran kepada artis dan bakat tempatan.
Selaras dengan misi untuk menjadikan Selangor sebagai hab industri kreatif, enam artis dianugerahkan geran sebanyak RM10,000 setiap seorang dalam sebuah pertandingan bertemakan 'Reka Lestari' yang sejajar dengan konsep 'circular economy' oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Artis dan projek yang memenangi geran bagi tahun ini adalah seperti Wayang Robot oleh Ahnaf Hakimi, Scaling Up Scraps oleh Syiborisyd dan Aruznadi.
BACA LAGI: Naikkan juga gaji minimum pekerja belia swasta — Majlis Belia Malaysia
BACA LAGI: Kakitangan didakwa tak produktif, ada yang gesa kerajaan kaji semula kenaikan gaji kakitangan PTG
Selain itu, turut dimenangi oleh Pagar 2π oleh Parti Design Awangan, Deru Arus oleh Jamil Zakaria, Dung Beetle - A Participatory 'Dirt' Exploration oleh Cheng Yen Peng dan The Light Of All Things oleh Khabir Roslan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, seni dan budaya memainkan peranan yang penting dalam memacu industri pelancongan negara.
"Keunikan hasil seni tempatan bukan sahaja mencerminkan keunikan budaya Negeri Selangor malah mampu menjana ekonomi untuk kerajaan, terutamanya di negeri Selangor dengan menarik para pelancong untuk melihat sendiri keunikan hasil seni dan kraf negeri Selangor.
"Saya yakin bahawa Festival Tukang ini mempunyai potensi yang besar dalam memperkasa bakat-bakat seni tempatan seterusnya merancakkan industri kreatif dan pelancongan terutamanya yang ada di negeri Selangor," katanya selepas Majlis Penutupan Festival Tukang: Design & Craft 2024 pada Ahad.
Ahnaf Hakimi (tiga kanan) menerima geran RM10,000.
Tambahnya lagi, terdapat juga beberapa hasil seni dan budaya negeri Selangor yang dibawa ke peringkat global sebagai salah satu tarikan pelancongan negeri Selangor.
"Perkampungan budaya Mah Meri, Seni Muzik Cempuling di Banghuris Homestay, Kuda Kepang dan Barongan di Sabak Bernam serta seni anyam mengkuang terakhir di Sabak Bernam antara tarikan pelancongan negeri Selangor," ujarnya.
Turut hadir, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi yang juga merupakan ADUN Seri Setia, Dr. Mohammad Fahmi Ngah; Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Aznan Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram