Lupakan kerjaya kerani, kini raih RM4,000 sebulan hasil kraftangan kreatif


  • Hobi
  • Sabtu, 06 Mei 2023

Zulfa sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai kerani di sebuah syarikat swasta demi meneruskan usaha menghasilkan kraftangan rantai kunci, magnet peti dan kerongsang.

SIAPA sangka usaha seorang wanita yang hanya sekadar suka-suka menghasilkan krattangan rantai kunci, kerongsang dan magnet peti daripada tanah liat mampu menjana pendapat lumayan.

Bagi Zulfa atau nama lengkapnya Zulfa Sholeha Junan, 33, dia sanggup melepaskan kerjaya dengan pendapatan tetap sebagai kerani di sebuah syarikat swasta untuk meneruskan usahanya itu.

Katanya, dia mula belajar untuk berdikari dan mencari sumber pendapatan sendiri sejak kehilangan suami pada 2016.

"Saya berusaha untuk mencari duit sendiri dan kalau boleh tidak mahu menyusahkan orang tua. Lagipun sejak suami meninggal dunia dahulu, saya sudah terbiasa berdikari.

majoriti2023 (84)

Anak menjadi kekuatan untuk Zulfa bersungguh-sungguh mengasah kemahirannya dalam penghasilan kraftangan.

"Awalnya saya buat untuk menjana pendapatan tambahan. Namun, sambutan hangat daripada media sosial membuatkan saya tidak menang tangan untuk menghasilkannya," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, kata Zulfa, dia belajar cara-cara membuat kraftangan itu di YouTube dan aplikasi TikTok.

Jelasnya, platform digital itu dapat memberikan ilmu dan pengetahuan sekali gus membantu dalam mempelajari perkara baharu.

"Sekiranya kita bijak menggunakan teknologi yang ada, perkara tersebut boleh membantu ke arah kebaikan.

"Sebelum belajar cara untuk membuat kraftangan, saya terlebih dahulu belajar cara untuk melukis.

majoriti2023 (83)

Sebahagian daripada rantai kunci yang dihasilkan oleh Zulfa.

"Perlahan-lahan minat melukis itu kemudian bercambah dan menjadi hobi. Seterusnya saya jadikan hal itu sebagai aktiviti masa lapang dan kini sumber pendapatan," ujarnya.

Zulfa mengatakan dia mampu menghasilkan kira-kira lima unit rantai kunci sehari.

Namun, dia memerlukan sekitar sehari atau dua untuk memikirkan idea bagi menghasilkan kraftangan mengikut tempahan pelanggan.

"Penghasilan memakan masa sekitar satu jam termasuk proses membakarnya sekitar 20 minit," terang wanita dari Lahad Datu, Sabah itu.

majoriti2023 (82)

Rantai kunci dan magnet peti yang diperbuat daripada tanah liat yang dihasilkan oleh Zulfa.

Dalam pada itu, Zulfa mengatakan dia membulatkan hati untuk berhenti kerja kerana pendapatan daripada aktiviti itu lebih lumayan.

"Tempatan selalu dibuka sekitar satu hingga dua bulan. Dalam tempoh itu Alhamdulillah pendapatan kira-kira RM3,000 hingga RM4,000.

"Keluarga juga banyak memberi sokongan dan galakkan agar teruskan saja untuk menghasilkan kraftangan itu.

"Saya juga bersetuju kerana jadual masa yang lebih fleksibel mengikut waktu sendiri berbanding terikat dengan majikan," katanya.

Setiap barangan yang dijual di bawah jenama Created Art And Craft by Zulfa bermula pada harga RM39 hingga RM95 (harga tidak termasuk penghantaran) mengikut permintaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram