PERSEMBAHAN kawad kaki akrobatik dipamerkan Sekolah Henry Gurney Keningau pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Keningau, Sabah pada Jumaat lalu nyata mencuri tumpuan masyarakat negara.
Manakan tidak, aksi dilakukan pasukan itu bukan sahaja berbeza, malah luar dari kotak pemikiran ramai yang menganggap formasi dipamerkan cukup unik dan sukar untuk dihasilkan.
Lebih manis apabila pasukan itu berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut menerusi aksi 'backflip' dilakukan dalam pertandingan tersebut.
BACA LAGI: Video kawad ajar disiplin, UPNM trending lagi di Twitter
Menganggap ia sebagai batu loncatan buat sekolah itu untuk terus mengorak langkah jauh, pasukan kawad kaki berkenaan dijangka membuat kemunculan pada sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur kelak.
Persembahan kawad kaki dipamerkan pada Kejohanan Olahraga MSSD, Keningau Jumaat lalu.
Penolong Penguasa Penjara Sekolah Henry Gurney Keningau, Jamaludin Jamil, 50, menjanjikan aksi yang lebih memukau bakal disajikan pada pertunjukan itu nanti.
Katanya, pasukan kawad sekolah terbabit sedang mempersiapkan formasi kawad berkonsepkan seni pertahanan diri.
"Format kali ini berbeza kerana ia berbentuk persembahan bukannya pertandingan, jadi kami lebih terbuka dan bebas untuk beraksi.
"Elemen seni pertahan diri akan digunakan dengan aksi Muay Thai, silat dan tinju dalam kawad kaki. Belum pernah ada mana-mana pasukan yang buat macam ini, ia kelainan yang kami akan persembahkan selain daripada 'backflip' dan terbang sebelum ini.
"Elemen seni pertahanan diri menjadi pilihan kerana kami ingin mengetengahkan kebolehan pelajar di sini, ada antaranya juga yang memang mewakili sekolah ke peringkat Sukan Malaysia (SUKMA)," katanya kepada Majoriti.
Persembahan silat pelajar Sekolah Henry Gurney Keningau.
Dalam pada itu, Jamaludin turut berkongsi perkembangan pelajarnya yang bakal beraksi di peringkat SUKMA Sarawak 2024 kelak.
Dua pelajar dari sekolahnya akan dihantar mewakili Sarawak bagi acara sukan wusyu dan lima lagi bekas penuntut Henry Gurney Keningau turut terlibat sama dalam sukan dwi tahunan tersebut.
"Acara silat dan wusyu kita ada hantar wakil dalam SUKMA, dua daripadanya masih menuntut di sini.
"Kelebihan dan kepakaran yang kami ada, mampu melahirkan atlet berwibawa sekali gus mengangkat martabat pelajar-pelajar di sekolah Henry Gurney Keningau.
"Malah, ada juga lepasan pelajar kami yang berjaya dalam akademik, sambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang akauntansi. Ini semua perkara yang mungkin tidak ramai tahu tetapi di sini boleh melahirkan ramai insan yang berjaya," tambahnya.
Untuk rekod, sebanyak 24 kontinjen perbarisan telah menyertai pertandingan kawad berkenaan dan dipecahkan kepada dua kategori utama iaitu Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.
Kontinjen Sekolah Henry Gurney Keningau telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan pertandingan kawad itu sekali gus mempertahankan kejuaraan selama tiga tahun berturut-turut bagi kategori Sekolah Menengah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram