Tak geli tangkap 30 ekor ular sawa, komander bomba kongsi tip berdepan 'tetamu tak diundang'


  • 112
  • Isnin, 12 Ogos 2024

Sebanyak 30 ekor ular sawa ditemukan di dalam saluran air longkang di Shah Alam, Selangor pada Rabu. — Ihsan Bomba

PENEMUAN 30 ekor ular sawa oleh pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Selangor pada Khamis lalu hangat diperkatakan pengguna media sosial.

Meskipun tiada sebarang kecederaan direkodkan, namun tangkapan haiwan habitat itu mencetuskan kerisauan masyarakat yang rata-ratanya trauma melihatkan penemuan sebanyak itu.

Dalam pada itu, timbul pula persoalan berhubung langkah keselamatan jika berdepan serangan ular ataupun haiwan berbisa.

BACA LAGI: 'Enggan disentuh lelaki', ibu 3 anak dedah pentingnya wanita jadi bomba

BACA LAGI: [VIDEO] Bomba guna 'high line technique' selamatkan remaja, kanak-kanak terperangkap atas batu sungai di Nilai

Mengulas lanjut berhubung hal itu, Komander Operasi, Radziah Osman yang mengetuai operasi tangkapan tersebut menjelaskan kesilapan sering dilakukan orang ramai yang boleh mengundang bahaya.

"Biasanya orang akan serang dan cuba-cuba untuk gertak jika terserempak dengan ular, tapi yang sebenarnya ia merupakan pantang larang paling utama perlu dielak.

"Sepatutnya jangan diusik ataupun ganggu dia, perbuatan macam itu boleh membuatkan kita diserang semula dan lebih bahaya bila haiwan itu dalam mod memburu.

"Tanggapan ular ataupun biawak ada titik penglihatan buta seperti lalat adalah mitos semata-mata, mereka boleh kesan kewujudan kita melalui deria bau jadi jangan cuba-cuba serang hendap dari belakang," katanya kepada Majoriti.

(TEKAN GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO)

6176712203932123039

Jelasnya, antara tip yang boleh dilakukan orang ramai jika berdepan situasi bahaya melibatkan ular ataupun biawak adalah, cuba bertenang dan berdiam diri.

Ia bertujuan bagi mengenal pasti laluan ataupun sasaran utama haiwan berkenaan kerana adakalanya mereka hanya tersesat.

"Sebaiknya cuba jauhkan diri ataupun perhatikan mereka dari jarak jauh dan selamat, jangan sergah ataupun sentuh langsung.

"Ular biasanya mencari kawasan untuk bertelur ataupun kemungkinan dalam musim mengawan jadi mereka mencari ruang terbuka dan tidak panas. Perhatikan ke mana hala tuju mereka dan telefon bomba secepat mungkin untuk memudahkan operasi tangkapan dilakukan.

"Kalau haiwan seperti biawak misalnya, ia lebih mudah, cuba buka pintu dan halau mereka perlahan-lahan asalkan jangan sakiti mereka. Tapi sebaiknya hubungi bomba segera kerana kami lebih pakar dalam hal itu," ujarnya.

Menganggap penemuan 30 ekor ular di Shah Alam baru-baru ini sebagai satu perkara aneh pernah dihadapi, beliau menjelaskan bahawa kesemua haiwan berkenaan baru selesai menetas.

Anggota bertugas bertindak menangkap ular berkenaan menggunakan penjerut dan dilepaskan di tempat yang selamat.

Dalam operasi sama, pihaknya juga mendapati kesemua ular tersebut berada di dalam beberapa saluran air longkang lain di kawasan sama sebelum dikeluarkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram